Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
ALHAMDULILLAH sebagai kesinambungan dalam isu yang lalu, penulis ingin menafsirkan satu ayat daripada al-Quran yang berkaitan dengan kelalaian ummah dalam menegakkan amar makruf dan nahi mungkar.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Telah dilaknati orang-orang kafir daripada Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka perbuat itu. (al-Maidah: 78-79)
Sayyid Qutb dalam tafsirnya berkata: Mungkin orang Islam melalui satu zaman, di mana mereka bukan sahaja tidak berdaya mengubah kemungkaran dengan tangan mereka, tetapi juga tidak berdaya mengubah dengan lidah. Yang tinggal pada mereka hanya iman yang paling lemah, iaitu kesanggupan mengubah kemungkaran dengan hati. Pada tahap ini, tiada siapa yang boleh menghalang hati mereka jika mereka benar-benar beriman kepada Islam.
Sesungguhnya ini bukan sifat negatif dalam menentang kemungkaran sebagaimana yang mungkin dilihat pada seimbas pandang lain. Ini kerana ungkapan Rasulullah SAW yang mengunakan kata-kata pengubahan" itu menunjukkan bahawa ia adalah satu tindakan yang bersifat positif.
Benci kemungkaran
Sebenarnya tindakan menentang dan membantah dengan hati itu bererti hati itu tetap memelihara sifat tentangannya yang positif terhadap kemungkaran. Di mana ia tetap membantah dan membenci kemungkaran, ia tidak akan menyerah kalah kepada kemungkaran dan ia tidak akan memandang kemungkaran itu mempunyai sebarang kedudukan yang sah dan dihormati serta diakui.
Oleh itu, penentangan hati terhadap suatu kemungkaran adalah satu kekuatan positif untuk meruntuhkan kedudukan itu dan untuk menegakkan kedudukan yang makruf sebaik sahaja mendapat peluang atau menunggu kesempatan untuk menghancurkan kemungkaran.
Kesemuanya ini merupakan satu tindakan positif untuk mewujudkan perubahan walaupun ia merupakan satu tahap iman yang paling lemah. Malah tidak ada lagi tahap yang lebih rendah daripada kesanggupan seseorang Muslim demi memelihara tahap iman yang paling lemah.
Begitu pun, sikap menyerah kalah kepada kemungkaran dengan alasan ini telah menjadi realiti atau kerana bimbangkan tekanan yang diterima boleh membawa kepada kebinasaan, maka anggapan sebegini diertikan seperti seseorang itu telah keluar daripada rantaian keimanan yang terakhir dan seterusnya meninggalkan kedudukan iman yang paling lemah.
Inilah (tahap tentangan yang terakhir) dan jika tidak dipertahankan juga, nescaya masyarakat wajar menerima laknat Allah seperti mana yang telah menimpa Bani Israel.
Mencegah
Melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar adalah wajib. Hal ini merupakan perkara yang maklum min al-Din bi al-Darurah dan difahami oleh semua umat Islam.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Siapa yang melihat dalam kalangan kamu kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya (kuasanya), maka siapa yang tidak mampu maka hendaklah mencegahnya dengan lidahnya dan siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia mencegahnya dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Antara perkara yang diatur begitu rapi dalam sistem Islam ialah hal-hal berkaitan perbuatan jenayah dan hukumnya. Islam telah mensyariatkan sistem undang-undang jenayah dengan begitu sempurna sekali, yang jelas dalam sumber utama hukum Islam, iaitu al-Quran dan al-sunnah.
Menerusi undang-undang jenayah yang sempurna ini sinar syariat dan syiar Islam akan terpancar dan seterusnya menjamin kesejahteraan ummah. Oleh itu, pencegahan jenayah akan membawa ummah kepada jalan yang betul, tepat dan sesuai dengan ajaran Islam atau Islah.
Proses mengislah ummah tidak boleh diasingkan daripada proses atau mekanisme undang-undang jenayah yang bertujuan mencegah ummah daripada melakukan atau diganggu oleh perkara-perkara yang boleh merobek keimanan, seterusnya menggagalkan objektif sistem dan cara hidup Islam. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita dalam melaksanakan aamar makruf dan nahi mungkar. Amin.
sumber
No comments:
Post a Comment