MAY 17, 2014
Saban tahun, detik bersejarah tanggal 16 Mei merupakan tarikh istimewa yang cukup bermakna bagi insan bergelar ’guru’. Hampir 500,000 golongan warga pendidik diraikan sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini.
Selaku Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik), saya ingin mengucapkan ’Selamat Menyambut Hari Guru’ kepada seluruh warga pendidik yang mencurahkan bakti bagi menggalas tanggungjawab dan amanah dalam memacu halatuju pendidikan negara.
Sesungguhnya,cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar memerlukan kesediaan pemantapan rohani yang kuat dan kesabaran yang tinggi di kalangan pendidik.
Perjuangan para guru dalam merealisasikan pendidik berjiwa rabbani amat penting demi kelangsungan generasi masa hadapan. Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan barisan pendidik daripada peringkat awal pendidikan kanak-kanak hingga peringkat IPT.
Sudah pasti, penghargaan ini ditujukan khususnya kepada golongan wanita yang bergelar ’muslimat’ dan mendominasi bidang pendidikan negara dalam memacu hala tuju modal insan agar lahir generasi yang seimbang dan berbahagia di dunia dan akhirat.
Sesungguhnya, amat disedari golongan wanita yang bergelar ’muslimat ’ merupakan insan yang cukup istimewa. Mereka dianugerahi ’sifat keibuan’ yang penuh kelembutan dan kasih sayang melebihi kaum lelaki. Justeru,profesion perguruan amat sesuai dan cukup sinonim dengan golongan bergelar wanita.
Kitalah ibu, kitalah isteri, kitalah pekerja, kitalah pendidik, kitalah pendakwah, kitalah pemimpin dan kitalah juga penggerak dalam parti dan masyarakat. Di tangan kitalah, tergalas amanah dan tanggungjawab untuk mendidik pelajar yang suatu ketika nanti akan berada di gelanggang masyarakat.
Dewasa ini,gejala sosial yang sedang melanda sangat membimbangkan dan kian membarah dalam masyarakat. Kes jenayah, zina, isu buang bayi, sumbang mahram, kelahiran bayi luar nikah, jenayah ragut, kes bunuh dan pelbagai lagi sangat mendukacitakan.
Pendidik melihat seolah-olah suatu keruntuhan nilai yang amat dahsyat sedang berlaku mutakhir ini.
Apalah gunanya negara memiliki bangunan pencakar langit dan menjulang tinggi tetapi dalam masa yang sama jati diri generasi pewaris masa depan bergelar ’pelajar’ yang disandarkan segala harapan untuk menerajui kepimpinan negara kian rapuh ditelan zaman. Justeru, hanya Islam yang syumul sebagai wadah penyelesaian terbaik dalam menangani isu pendidikan negara yang semakin meruncing.
“Dan Sesiapa yang mengambil Allah, Rasulnya dan orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.” (Al-Maidah : ayat 56).
Nasib dan kebajikan para guru juga semakin hari kian diabaikan dan kurang pembelaan. Dalam masa yang sama, mereka berdepan dengan tekanan dari pelbagai sudut untuk terus mendidik anak bangsa agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Apa yang paling menyedihkan, hanya kepada guru seolah-olah dibebankan segala tanggungjawab ini.
Sebahagian pihak berperanan sebagai ’pembina’ malangnya sebahagian pihak pula menjadi ’peruntuh’ masa depan. Manakala peranan pihak kerajaan, media bercetak dan media elektronik selain institusi kekeluargaan seolah-olah semakin dikesampingkan. Sedangkan mereka juga berperanan mendidik masyarakat bagi melahirkan insan berjiwa rabbani. Bukankah tanggungjawab mendidik masyarakat mesti digalas secara kolektif dan bersepadu?
Justeru, penghargaan dan pengiktirafan daripada masyarakat melalui kad ucapan, menaikkan banner atau majlis perayaan kepada golongan pendidik amat penting untuk membangkitkan momentum perjuangan ke arah ’mendidik masyarakat’ demi mencari keredaan llahi.
Tema yang kekal dipilih pada kali ini ‘Bangkit Guru Memimpin Perubahan’. Tema ini dipilih berdasarkan hasrat, visi dan misi Pendidik untuk melahirkan generasi seimbang daripada aspek spiritual, intelektual, emosi dan fizikal melalui sistem pendidikan yang bersifat holistik dan global.
Di tangan para guru, terletaknya peranan untuk melahirkan pelajar yang memiliki sahsiah unggul dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa bersumberkan sistem ’Pendidikan Rabbani’.
Tentunya, ’transformasi sistem pendidikan’ dan ’transformasi budaya’ yang dicetuskan oleh para guru bakal melahirkan modal insan yang berbahagia hidup di dunia dan di akhirat.
Memang tidak dapat dinafikan, dalam kegembiraan meraikan Hari Guru yang cukup bermakna ini, para guru berdepan dengan kebajikan yang diabaikan dan hak guru semakin dinafikan. Atas nama ’dasar penjimatan’ golongan guru pada tahun ini sering dinafikan daripada segi tuntutan perjalanan semasa berkursus dan aktiviti pendidikan yang dikurangkan.
Pada masa sama, mereka berdepan dengan dasar pendidikan yang tidak konsisten dan bercelaru. Sebagai contohnya, isu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang kini dilaksanakan seakan mengulangi kesilapan Dasar PPSMI yang tiada kajian rintis secara sistematik dilakukan. Bukan sahaja ia akhirnya membazirkan duit rakyat, malah dasar yang tidak cermat ini dibimbangi akan meminggirkan pelajar luar bandar dan pelajar sekolah agama rakyat khususnya.
Sesungguhnya, guru adalah ’ejen’ perubahan masyarakat. Gurulah insan yang suatu ketika dahulu berada di barisan depan dalam meniupkan kesedaran untuk mencapai ’kemerdekaan’ tanah air. Gurulah yang membentuk ’jiwa dan minda merdeka’ daripada segala belengu pemikiran negatif di kalangan masyarakat suatu ketika dahulu.
Justeru, saya ingin menyeru kepada barisan pendidik di seluruh negara agar ’berani’ membuat anjakan paradigma demi melihat perubahan iklim pentadbiran negara agar masa depan pelajar yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara tidak diperjudikan dengan sewenang-wenangnya.
Bangkitlah wahai para guru dalam mempertahankan hak dan kebajikan yang kian diabaikan. Beranilah menyuarakan pendapat melalui ’lisan dan mata pena’ demi melihat kelangsungan masa depan anak bangsa menjadi lebih terarah dan memiliki hala tuju yang jelas. Mantapkanlah jati diri selaku pendidik daripada aspek pembangunan rohani dan pemantapan spiritual demi menghadapi cabaran pendidikan semasa dalam era globalisasi. – 17 Mei, 2014.
* Penulis adalah Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan(Pendidik).

No comments:
Post a Comment