Sudut Iklan

Sunday, 8 June 2014

Mayat ditemui di Pulau Tioman disahkan Huntley



KUANTAN: Polis hari ini mengesahkan mayat seorang lelaki yang ditemui di Sungai Mentawak dekat Chalet Lagoon, Kampung Juara, Pulau Tioman, Rabu lepas, adalah Gareth David Huntley, 34, yang dilapor hilang di kawasan air terjun Lubuk Teja sejak 27 Mei lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata pengesahan itu berdasarkan keputusan dan interpretasi DNA oleh pegawai sains Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya.

"Setelah perbandingan dibuat ke atas profil DNA yang diperoleh, didapati bahawa penderma spesimen darah Janet Southwell adalah ibu kandung kepada penderma tulang mayat yang dijumpai.

"Kebarangkalian materniti adalah 99.9999 peratus dikira berdasarkan kepada pangkalan data STR penduduk Malaysia yang berketurunan Melayu, Cina dan India.

"Ini bermakna mayat yang dijumpai (Rabu lepas) adalah Gareth David Huntley," katanya kepada media hari ini tanpa menyatakan punca kematian mangsa.

Warga Britain itu, yang merupakan sukarelawan Pusat Perlindungan Penyu Kampung Juara, Pulau Tioman dilapor hilang pada 27 Mei lepas ketika dikatakan mahu ke Air Terjun Lubuk Teja berseorangan.

Huntley kemudian didapati tidak pulang sebelum rakan dan beberapa penduduk kampung keluar mencari beliau di kawasan hutan berhampiran air terjun itu sebelum laporan polis berhubung kehilangannya dibuat pada 29 Mei.

Pada 4 Jun, pasukan mencari dan menyelamat menemui satu mayat seorang lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di Sungai Mentawak dekat Chalet Lagoon, Kampung Juara.

Mayat yang dipercayai milik Huntley itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat pada Khamis lepas dan sampel darah Southwell diambil bagi tujuan pemadanan DNA.

No comments:

Post a Comment