Sudut Iklan

Monday, 2 June 2014

Mulut Celupar Bawa Rahmat, Raja Azmi Bertudung


Raja Azmi lebih anggun bertudung

Diterbitkan: Isnin, 2 Jun 2014 12:09 AM
Oleh: NIEZAM ABDULLAH
niezam@thestar.com.my

PETALING JAYA: Produser kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman mendedahkan keceluparannya mempersoalkan dakwaan wanita tidak bertudung akan masuk neraka antara punca dia terbuka hati untuk berhijab.

Raja Azmi, 55, berkata, selepas membuat kenyataan itu yang disiarkan di TV9 bulan lalu, dia mula terfikir adakah kenyataan yang dibuatnya itu betul atau sebaliknya.

“Semasa saya buat kenyataan itu, saya tiba-tiba terfikir apa yang saya cakap itu betul atau tidak? Dan saya juga membuat sembahyang tahajud tiga hari tiga malam dan akhirnya saya mendapat jawapan serta terbuka hati untuk berhijab,” katanya.

Raja Azmi berkata demikian dalam rancangan hiburan h live! saluran Astro Ria dan Maya HD pada Ahad malam.

Produser itu ditemubual oleh pengacara Datuk Aznil Nawawi dalam program yang disiarkan secara langsung bermula pukul 8.30 malam itu. Ulangan rancangan berkenaan disiarkan menerusi saluran Awani pada pukul 10.30 malam.

Sebelum ini Raja Azmi menimbulkan kontroversi apabila dia mempersoalkan pendapat orang yang tidak bertudung akan masuk neraka.



Wajah terbaharu Raja Azmi yang muncul dalam rancangan h live! pada Ahad.

Beliau membuat kenyataan berkenaan apabila ditanya wartawan Galaksi, TV9, adakah dia mahu bertudung selepas kembali mengerjakan umrah pada Februari lalu.

Malah dia juga berkata, orang yang bertudung pula tidak semuanya menjaga adab mereka sebagai muslim sejati.

Dalam pada itu Raja Azmi berkata, dia tidak terkesan dengan segala kritikan orang ramai terhadap kenyataannya sebelum ini tetapi dia bersyukur kerana mendapat ‘teguran’ Allah yang akhirnya membuatkan dia mengambil keputusan bertudung.

Langkah menukar imej kata beliau, adalah sebahagian daripada keinginannya untuk terus beribadah dan juga mahu mengenali Islam itu dengan lebih mendalam.

“Insya-Allah, niat saya untuk berhijab sehingga memakai kain kapan,” katanya.

Tambah Raja Azmi, dia akan berusaha untuk mendekatkan diri dengan Allah terutamanya menjaga waktu solat lima waktu yang sebelum ini tidak dilaksanakan dengan sempurna.



Raja Azmi dan Aznil Nawawi

Ditanya oleh Aznil bagaimana reaksi keluarganya selepas membuat keputusan itu Raja Azmi berkata, anak-anaknya gembira dengan perubahan berkenaan manakala suaminya Mohd Eddie Ghazali, 45, pula menepuk bahunya sambil berkata; “I love you.”

Beliau turut menambah, keputusan memakai tudung juga memperluaskan rezekinya apabila dia mendapat peluang menghasilkan rekaan tudung yang akan diusahakan bersama rakannya.

Dalam rancangan itu juga Raja Azmi turut memberi nasihat kepada penonton agar mencontohinya untuk berubah kerana perubahan itu akan membuatkan seseorang umat Islam akan mendapat lebih pahala.

“Pakailah hijab kerana bila kita berhijab, kita akan dapat lebih banyak pahala,” katanya.

No comments:

Post a Comment