Sudut Iklan

Wednesday, 9 September 2015

Krisis pelarian Islam 
gugat kewibawaan EU


Pelarian Islam yang kebanyakannya dari Syria menunggu bas di sebuah kem sementara di pusat pengumpulan di Roszke, Hungary, semalam. REUTERS

MUSTAFA KAMAL BASRI | 08 September 2015

ISU pelarian Islam di Eropah kini menjadi semakin kronik dan menggugat kewibawaan Eropah sebagai juara hak asasi manusia dan kemanusiaan.


Jumlah pelarian Islam dari Libya, Afrika dan Asia Barat, menuju ke Eropah terus meningkat begitu ketara sejak kebelakangan ini dan isu tersebut kini menguji sistem nilai kebanyakan negara Eropah yang terjejas.

Ini adalah krisis terburuk pela­rian di Eropah selepas perang Yugoslav pada 1990-an.

Isu pelarian Islam membanjiri Eropah mula menjadi perhatian apabila 387 orang pelarian dari Libya yang melarikan diri selepas kejatuhan Muammar Gaddafi terkorban apabila kapal yang membawa mereka karam dekat pulau Lampedusa, Itali pada 3 Oktober 2013.

Tragedi itu dilihat sebagai kegagalan Eropah menangani isu pelarian dan pendatang asing secara berkesan. Setakat ini 70 peratus pelarian yang masuk ke Eropah adalah dari Libya, diikuti Syria dan Afrika.

Sejak tragedi Lampedusa itu, kebanjiran orang pelarian ke Itali dan negara-negara Eropah lain terus meningkat mendadak.

Krisis pelarian Islam ke Eropah turut meletakkan Kesatuan Eropah (EU) dalam dilema moral dan mencalarkan imej EU, setelah sekian lama Eropah digambarkan sebagai pejuang asasi manusia, selain agama Kristian dilihat lebih berperikemanusiaan daripada Islam.

Negara-negara anggota EU yang memberi layanan kemanusiaan yang baik kepada pelarian, akan mendorong lebih ramai pelarian datang. Maka, kebanyakan negara anggota EU mengamalkan dasar `mengelak’ daripada `menerima’, kerana ia akan menggalakkan lebih ramai pelarian datang.

Kerajaan Rom sendiri melalui Menteri Dalam Negeri, Angelino Alfano memberi amaran bahawa kira-kira 300,000, atau mungkin 600,000 penduduk Libya sahaja sudah bersiap sedia untuk menaiki bot-bot hanyut menuju ke Eropah dan :”Kami tidak mampu lagi untuk mengambil mereka semua,’’ katanya.

Pelarian Islam yang membanjiri Eropah bukan masalah Itali semata-mata dan Rom menggesa supaya Peraturan Dublin yang diluluskan EU pada 2003 yang menetapkan bahawa `permohonan pencari suaka politik hanya boleh diproses di negara di mana pelarian mendarat’, kini tidak boleh lagi dipakai.

“Ini bukan masalah Itali semata-mata,” kata Menteri Luar Itali, Fe­derica Mogherini.

“Sebaik-baik pelarian mendarat di Itali, ia serta-merta menjadi masalah EU,’’ tambahnya.

Sementara itu, Jerman, negara anggota EU yang ‘paling berlembut’ dengan pelarian menunjukkan peningkatan kebimbangan, apabila jumlah pelarian yang memohon suaka politik di negara itu terus meningkat, pada suku pertama 2014 sebanyak 76 peratus berban­ding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Jerman berkata, jumlah pemohon suaka politik di Jerman pada masa ini melebihi jumlah di Itali. Pada tahun lepas Jerman mencatat sebanyak 127,000 permohonan baharu mendapatkan suaka politik, berbanding hanya 27,000 di Itali.

Sementara itu, seorang calon Parti Sosial Demokrat, Martin Schulz, yang menjadi calon terkemuka pada pilihan raya Parlimen Eropah berkata, negara-negara yang terjejas dibiarkan tanpa bantuan untuk beberapa lama oleh EU.

Katanya, “Pengagihan pela­rian antara negara-negara EU perlu dilaksanakan secara adil. Negara-negara ini juga perlu diberi bantuan kewangan.”

Menurutnya, satu perjanjian berhubung sistem kuota, kaedah yang kontroversi yang menghendaki negara-negara EU yang tidak mempunyai sempadan dengan Laut Mediterranean perlu turut mengambil sejumlah pelarian tambahan bagi meringankan beban yang ditanggung negara-negara terjejas, ‘perlu dijadikan agenda tambahan’ pada Sidang Kemuncak EU.

Sekali lagi dalam isu pelarian, memperlihatkan EU menjadi sebuah kesatuan yang mementingkan kepentingan nasional, dan sentimen ini, menyebabkan pemimpin-pemimpin EU lambat mengambil langkah bagi mencari penyelesaian kepada isu pelarian.

Peningkatan pengangguran, ke­adaan ekonomi Eropah yang meleset dan negara-negara anggota EU yang menghadapi krisis Euro, mencetuskan bantahan radikal terutama dalam kalangan generasi muda Eropah terhadap kemasukan pelarian ke Eropah.

Krisis pelarian turut menjejaskan reputasi dan populariti kerajaan-kerajaan Eropah kerana kegagalan mereka menangani isu berkenaan dan mendorong kebangkitan parti pembangkang dan konservatif.

Krisis pelarian menggugat ba­nyak negara Eropah, sehingga ada cadangan yang ekstrim dalam kalangan ahli politik Eropah supaya pelarian Islam ini dihantar ke negara-negara Afrika yang selamat.

Tragedi Lampedusa akan terus menjadi titik hitam dan titik tolak dalam EU membincangkan isu pelarian, dan dasar-dasar EU berhubung pelarian bagi mengelakkan berulangnya tragedi ramai pelarian terbunuh di lautan.

Dalam menyelesaikan krisis pelarian ini, EU sepatutnya perlu melihat kepada punca krisis tersebut dan membantu menyelesaikan konflik Asia Barat terutama perang saudara di Syria dan Iraq.

Barat perlu membantu mengembalikan kestabilan politik di Libya dan negara-negara Islam lain, selain menangani masalah keganasan dan kemiskinan di beberapa negara di Afrika termasuk Somalia.

Selagi krisis kemanusiaan, ke­miskinan, keganasan dan peperangan di negara-negara terbabit tidak diselesaikan Eropah akan terus dihantui dengan isu kebanjiran pela­rian.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/krisis-pelarian-islam-8232-gugat-kewibawaan-eu-1.133092#sthash.af4zaNfa.dpuf

No comments:

Post a Comment