Sudut Iklan
Wednesday, 9 September 2015
Ramalingam tidak pernah menyesal
R. RAMALINGAM
KHABAR HARAMAIN
ROZAMAN ISMAIL MELAPORKAN DARI MEKAH | 09 September 2015
MEKAH 8 Sept. - R. Ramalingam, 61, tidak pernah menyesali jalan kehidupan yang dipilihnya.
Walaupun tindakan tersebut memberi kesan yang sangat besar, dia reda.
Dia ‘kehilangan’ anak dan isteri, dua insan yang disayangi. Kedua-duanya pulang ke Sri Lanka setahun selepas dia memeluk Islam.
Ramalingam yang kini memilih nama Islam Zakaria Abdullah Al Kuwaity tidak menoleh ke belakang lagi.
Zakaria meneruskan hidup bersendirian. Dia cuma bersyukur abang dan kakaknya masih dapat menerima keputusan itu, walaupun berlainan agama
Selama 28 tahun Ramalingan hidup di Kuwait, dikelilingi satu budaya dan pegangan hidup yang berbeza dengan agama anutannya.
Selama di sana dia menyaksikan satu rutin hidup yang cukup menarik. Setiap kali azan berkumandang kira-kira 500 rakan sekerja Muslim lain meninggalkan kerja seketika dan berduyun-duyun ke masjid untuk bersolat.
“Saya ada bertanya kepada rakan sekerja, bolehkah saya turut bersolat, tetapi kawan saya kata kamu kena belajar dan peluk Islam dahulu,” katanya.
Sekembalinya ke tanah air pada 2008, Ramalingam memeluk Islam di Johor Bahru.
Dia kemudian mendalami Islam di Kedah dan Kelantan.
Hari ini Ramallingam atau nama Islamnya Zakaria adalah salah seorang daripada 22,320 jemaah Malaysia yang menjadi tetamu Allah di Tanah Suci.
“Saya menangis tanda syukur apabila menerima tawaran mengerjakan haji.
“Saya sangat bersyukur Allah memilih saya untuk menjadi salah seorang tetamu-Nya,’’ katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Zakaria, dia mengikuti beberapa kursus haji setelah mendapat surat tawaran dan kursus tersebut ternyata banyak membantu sepanjang di Tanah Suci.
Ditanya perasaannya pertama kali melihat Kaabah, Zakaria memberitahu, dia menangis kerana terlalu bersyukur.
“Saya merasa amat kecil, tak dapat saya gambarkan betapa beruntungnya saya menjadi insan yang dipilih Allah,” katanya.
Zakaria turut berdoa agar hasratnya untuk membuka kelas pengajian agama bagi saudara baru akan dimakbulkan Allah.
“Saya juga berdoa Allah membuka pintu hati dan memberi hidayat kepada anak dan isteri saya,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ramalingam-tidak-pernah-menyesal-1.133540#sthash.274Bexst.dpuf
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment