Sudut Iklan

Thursday, 17 September 2015

Persiapan Operasi Masyair berjalan lancar


16 September 2015 12:10 AM

MEKAH 15 Sept. – Tabung Haji sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi hari wukuf yang dijangka jatuh pada 23 September ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kerja-kerja menyiap­kan segala kemudahan di tapak per­khemahan jemaah berjalan lancar dan hampir siap.

“Persiapan untuk Operasi Ma­syair sudah di peringkat akhir. Kita sudah meninjau keadaan tapak per­khemahan jemaah Malaysia di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Kerja-kerja membersihkan kawasan di Arafah telah selesai dan kini masuk fasa mendirikan khemah pula,” katanya selepas me­nga­dakan tinjauan persiapan Operasi Masyair di ketiga-tiga tempat dekat sini hari ini.

Sempena lawatan itu juga, satu majlis menaikkan Jalur Gemilang turut diadakan di situ.

Menurut beliau, semua kemudahan akan siap tidak lama lagi.

Beliau berkata, jemaah haji Malaysia akan bergerak dari Mekah ke Arafah menaiki bas bermula 8 Zulhijjah.

“Jemaah haji Malaysia akan dibawa dari Mekah ke Arafah menaiki bas bermula 8 Zulhijjah bersamaan 22 September selepas solat Zuhur.

“Mereka akan berada di Arafah sehingga keesokan hari 9 Zulhijjah untuk berwukuf dan berge­rak ke Muzdalifah selepas waktu Maghrib.

Menurut Syed Saleh, jemaah haji akan bermabit di Muzdalifah yang ditetapkan pada pukul 11.40 malam.

“Tabung Haji mengucapkan te­rima kasih kepada kerajaan Arab Saudi dan Muassasah Asia Tenggara kerana memberi tapak lebih awal,” katanya.

Katanya, lokasi tapak yang diberikan sama seperti tahun lalu dan memudahkan Tabung Haji membuat perancangan.

Antara kemudahan yang disediakan adalah surau, pusat rawatan, bilik maklumat operasi dan pejabat maktab. – utusan

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/persiapan-operasi-masyair-berjalan-lancar-1.136514#sthash.SOCm3BA8.dpuf

No comments:

Post a Comment