Sudut Iklan

Monday 10 December 2012

Penampilan baru Melissa Saila

Melissa mula bertudung Jun lalu. (Foto: Google)

Jiwa seni Melissa
SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR & FOTO: SAFWAN MANSOR,KMM
10 Disember 2012


Melissa Saila


Melissa Saila bersama permata hatinya.

PEMBABITANNYA dalam bidang seni bermula seawal usia enam tahun lagi. Bak kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Mewarisi bakat lakonan daripada ibunya, Seniwati Mariani dan ibu saudara, Allahyarham Puan Sri Saloma, nama Melissa Saila terpahat antara aktres hebat pada zaman kegemilangannya.

Bagi yang membesar pada era 90-an, pasti masih teringat lakonannya dalam drama siri, Cili Padi yang mencipta fenomena ketika itu.

Biarpun kini kelibat Melissa, 40, sudah jarang kelihatan di layar skrin mahupun perak, bukan bermakna dia sudah meninggalkan bidang seni yang amat dicintainya ini.

Kesempatan bertentang empat mata dengan Melissa, baru-baru ini, dia sempat berkongsi sisi lain kehidupan dilaluinya kini.

Jelas ibu tiga anak ini, kebelakangan ini dia agak sibuk menguruskan produksinya, Kus Semangat Aktor Sdn Bhd yang ditubuhkan sejak 2007 bersama suami tersayang, Megat Fauzi Shukarnain.

Malah, dia yang bertindak sebagai pengarah dan penerbit, baru saja menghabiskan penggambaran telemovie patriotik berjudul 50/50 untuk siaran RTM.

Kata Melissa, telemovie yang dibintangi Johan Asaari dan Dira Abu Zahar itu masih dalam proses penyuntingan.

“Beginilah rutin saya sekarang, sibuk dengan produksi dan kerja-kerja belakang tabir.

“Untuk pengetahuan semua, telemovie ini merupakan yang kelapan arahan saya di bawah produksi sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Melissa pernah mengarahkan drama Bila Larut Malam, Rompakan Kabinet dan Kampung Semarah Padi.

Menurut aktres yang mula bertudung sejak Jun lalu, dia bersyukur kerana produksi miliknya itu semakin kukuh dan mula mendapat kepercayaan stesen televisyen.

“Sebagai pelakon, saya mungkin ada nama tetapi kehadiran saya sebagai pengarah dan penerbit masih baru. Walaupun agak mencabar tetapi ini semuanya bergantung kepada kesungguhan kita sendiri,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut matlamatnya dalam bidang pengarahan, kata Melissa, dia berazam hasilkan karya yang menghiburkan.

“Tetapi bukan bermakna saya perlu mengikut 100 peratus selera penonton atau trend semasa. Sebaliknya, saya mahu beri sesuatu yang baru untuk mereka dan dalam masa sama masih menghiburkan,” katanya.

Telemovie 50/50 misalnya, kata Melissa, mengetengahkan tema patriotik yang jarang mendapat tempat di hati penonton.

“Karya ini pernah ditolak beberapa kali oleh stesen televisyen kerana mereka berpendapat ia terlalu berat.

“Sedangkan, drama ini bukanlah hendak mengajar mengenai sejarah. Sebaliknya, dihasilkan bagi menaikkan semangat patriotik yang dah lama hilang dalam diri kita,” katanya yang selepas ini mempunyai perancangan untuk mengarahkan drama berepisod pula.

Mahu diingati sebagai pelakon

Sudah duduk di bangku pengarah dan penerbit, menurut Melissa, gelaran baru itu sedikit sebanyak membataskan penglibatannya sebagai pelakon.

“Tawaran berlakon itu memang ada, tetapi saya terpaksa tolak kerana tidak dapat memberi komitmen.

“Kalau diikutkan, saya memang teringin untuk kembali berlakon kerana lakonan sudah menjadi sebahagian daripada diri saya,” katanya yang kali terakhir berlakon adalah menerusi drama Tahajud Cinta, tahun lalu.

Mengakui mendapat gesaan peminat yang merindui lakonannya, kata Melissa, banyak perkara perlu diteliti sebelum menerima tawaran berlakon.

“Saya bukan saja sibuk dengan produksi, tetapi juga dengan keluarga dan anak-anak. Sekiranya penggambaran tidak mengambil masa lama, mungkin saya boleh mempertimbangkannya,” katanya yang juga akan memilih watak bersesuaian dengan status ibu dan isteri.

Bagaimanapun, menurut Melissa, ada kalanya produksi lain ‘gentar’ untuk mengambilnya berlakon hanya kerana gelaran pengarah yang dipegangnya.

“Saya pun hairan dengan situasi ini kerana saya tidak pernah berhenti berlakon. Malah, saya sebenarnya lebih selesa jika dikenali sebagai pelakon berbanding pengarah,” katanya.

Kurang kesungguhan

Boleh dianggap sebagai ‘orang lama’, si pemilik nama sebenar Melisa Mohd Alias ini sentiasa peka dengan situasi dalam industri.

Menjadi pemerhati setia perkembangan dunia lakonan tempatan, Melisa memiliki pandangan tersendiri terhadap kemunculan ramai muka baru.

“Walaupun saya nampak industri semakin berkembang, tetapi sayangnya kesungguhan pelakon kini tidak sama macam dulu.

“Bukan hendak membanding-bandingkan, namun itulah realitinya. Dari segi penghayatan lakonan, disiplin dan niat mereka menceburi bidang ini seolah-olah kurang kesungguhan,” katanya.

Merujuk pengalamannya sebagai pengarah, Melissa berkata, dia sendiri pernah ‘terkena’ dengan kerenah segelintir artis baru yang jelas sekali hanya ingin mencari glamor.

“Mungkin mereka tidak sedar, hal yang dipandang enteng ini akan membuatkan mereka tidak kekal lama dalam industri.

“Saya sendiri tidak mahu orang sebegini dalam produksi saya. Sebab itu, saya amat cerewet memilih pelakon,” katanya.

Dalam hal ini, kata Melissa, dia amat mengagumi beberapa pelakon lelaki yang disifatkannya memiliki kesungguhan tinggi.

“Nama-nama seperti Beto Kushairy, Zahiril Adzim dan Bront Palarae misalnya, mereka bekerja keras untuk dikenali.

“Maaf cakap, tetapi saya dapati tidak ramai pelakon wanita yang mempunyai sikap begini. Kebanyakannya hanya gah pada nama,” katanya.

Bagi mereka di luar sana yang ingin berjinak-jinak dalam bidang lakonan, ada pesanan daripada Melissa.

“Tidak salah mencari populariti asalkan seimbang dengan kejayaan karier. Tetapi jangan sampai dilupakan niat sebenar untuk berlakon. Teruskan berusaha meningkatkan pencapaian diri.

“Jika anda rasa tidak boleh berlakon, jangan berlakon,” tuturnya ikhlas.

Urus sendiri anak-anak

Rancak bercerita mengenai karier, sesekali pandangan Melissa tidak dilepaskan ke arah anak sulungnya, Noor, 8, yang setia menanti ketika sesi temu bual dilakukan.

Melissa berkata, dia sememangnya rajin membawa Noor dan dua lagi anaknya, Zain, 6, dan Zahrah, 3, ke mana sahaja dia pergi.

Ini kerana, Melissa tidak mempunyai pembantu rumah dan menguruskan sendiri anak-anaknya.

Meskipun agak penat, bagi wanita ini, dia berasa puas kerana dapat melihat anak sendiri membesar di depan mata.

“Biasalah kadang kala agak terkejar-kejar kerana saya perlu melakukan banyak perkara dalam satu masa.

“Mujurlah saya bekerja dengan produksi sendiri, jadi masa saya agak fleksibel,” katanya yang lebih suka sekiranya anak-anak memilih kerjaya bukan daripada lapangan seni.


PROFIL

Nama sebenar: Melisa Mohd Alias
Nama komersial: Melissa Saila
Umur: 40 tahun
Asal: Kuala Lumpur
Suami: Megat Fauzi Shukarnain
Anak-anak: Noor, 8, Zain, 6, dan Zahrah, 3.
Kerjaya: Pelakon, pengarah dan penerbit.
Pencapaian: Pelakon Paling Berbakat - Malam Sri Angkasa (1984), Pelakon Terbaik (Filem Penghujung Malam) - Festival Filem Malaysia (1994), Pelakon TV Terbaik (Orang Gaji Sementara) - Anugerah Skrin TV3 (2001),
Persembahan Terbaik - BOH
Cameronian Arts Awards (2003

sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment