Sudut Iklan

Monday 9 September 2019

Remaja jual petai mendaftar di USM



Safina Ramli

02 September 2019 1:42 PM

PULAU PINANG 2 Sept. - Ketika pelajar lain ditemani ibu bapa pada sesi pendaftaran pelajar baharu ke Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini, situasi berbeza pula berlaku bagi Muhammad Izzat Amran Ibrahim, 20, kerana desakan kemiskinan.

Remaja yang berasal dari Gua Musang, Kelantan itu mengambil keputusan untuk datang sendiri ke Pulau Pinang dengan menaiki bas tanpa ditemani keluarga kerana mahu menjimatkan wang perbelanjaan.

Dia yang merupakan anak ketiga daripada 12 beradik itu juga mencuri perhatian ramai pada sesi pendaftaran pelajar baharu ke USM kerana kisah hidupnya yang tular menerusi media sosial ekoran terpaksa menjual petai untuk menampung perbelanjaannya bagi memasuki USM.

Muhammad Izzat berkata, dia menaiki bas ke Pulau Pinang seorang diri kelmarin dan menumpang tidur di rumah bapa saudara di Bayan Lepas di sini, sebelum mendaftar masuk ke USM hari ini.

"Saya datang sendiri dari Gua Musang tanpa ditemani ibu bapa kerana mahu jimatkan wang perbelanjaan dan saya berterima kasih kepada bapa saudara di sini yang banyak membantu menguruskan pendaftaran saya ke USM.

"Saya bersyukur kerana dapat meneruskan pengajian di USM walaupun sebelum ini saya hampir menangguhkan pengajian kerana tidak mampu membayar wang pendaftaran," katanya ketika ditemui di USM, di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Muhammad Izzat yang merupakan seorang anak penoreh getah di Kampung Limau Kasturi 1, Gua Musang gigih mencari wang untuk menyambung pengajian di universiti dengan membantu ibunya menjaja petai dan sayuran kampung.

Muhammad Izzat bercadang menangguhkan pengajiannya selepas tidak mampu mengumpul wang pendaftaran untuk belajar di USM.

Menurut Muhammad Izzat, dia mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menghulurkan bantuan kepadanya selepas kisahnya tular di dalam media sosial.

"Saya membayangkan tidak lagi dapat menyambung pengajian di USM namun dengan bantuan orang ramai saya dapat meneruskan cita-cita saya.

"Terima kasih kepada yang telah membantu dan saya akan ingat pesanan ibu bapa agar belajar bersungguh-sungguh di sini," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Izzat berkata, dia juga bercadang melakukan kerja sampingan untuk menampung pengajian di USM.

 - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment