Sudut Iklan

Friday 19 August 2016

MENEGAKKAN ISLAM MELALUI USAHA RUNDINGAN



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


PASIR MAS: Islam bukan sahaja tertegak dengan dakwah mahupun pembukaan negeri atau peperangan, tetapi juga menerusi usaha rundingan, demikian diterangkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Jelasnya, perkara itu sebagaimana perjanjian dimeterai melibatkan orang Islam, Yahudi dan Musyrikin dalam Sahifah Madinah untuk tunduk di bawah Kerajaan Islam yang bermula dengan rundingan.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan utama pada Himpunan Menyokong RUU355 di Stadium Mini, di sini 15 Ogos lalu.

“Tak salah PAS berunding untuk melaksanakan Islam. Baca sirah nabawiyah. Mengaji dengan kitab, jangan mengaji dengan internet. Apabila pemimpin-pemimpin Musyrikin dan Yahudi bosan dengan ketua-ketua mereka yang berperang di antara satu sama lain. Ada kalangan mereka fitrahnya dan hatinya baik, menerima Islam memerintah.

“Di peringkat awalnya, orang Islam adalah minoriti, bukan Islam majoriti. Orang Islam bersatu Muhajirin dan Ansor, orang bukan Islam bergaduh di antara satu sama lain, ini kekuatan yang mesti faham. Maka dimeteraikan Sahifah Madinah, perjanjian Madinah.

“Di antara yang disebut di dalam perjanjian ini, sebarang perkara yang menjadi pertelingkahan di kalangan semua pihak terlibat di dalam perjanjian ini hendaklah dikembalikan kepada Allah, yakni al-Quranul Karim dan Muhammad Rasulullah s.a.w,” ujarnya menegaskan bahawa perkara itu menunjukkan negara menjadikan Islam sebagai hukum tertinggi.

Malah menurut beliau, ketika Inggeris, British, Perancis, Belanda dan lain-lain kuasa ke negara lain secara penjajahan, para Sahabat r.a dan tabi’in ke seluruh pelusuk dunia melakukan ‘al-Futuhatul Islamiyah’ iaitulah Pembukaan Islam.

Jelasnya, rakyat negara tersebut tidak dipaksa menganut Islam, bahkan rumah ibadat agama lain tidak dimusnahkan, hingga Islam melebar ke benua Asia, Afrika dan Eropah dengan membuka hati-hati manusia menyebabkan mereka menerima Islam.

“Rahsianya ialah adilnya syariat Allah s.w.t. Berlakunya keamanan, penjenayah berhenti melakukan jenayah, perompak takut nak merompak, yang berdosa banyak bertaubat. Bukan tak ada salah langsung, ada. Tetapi Islam dapat mengatasi keburukan manusia,” terangnya.

Tuan Guru turut menjelaskan betapa peranan dakwah yang telah digerakkan PAS sebagai parti politik, menerusi pemerintahan kerajaan, bersama pelbagai pihak termasuk pernah menyertai Kerajaan Campuran dan BN telah memberikan anjakan berkaitan penerimaan terhadap Islam.

Menurutnya, walaupun usaha untuk menegakkan syariah berdepan cabaran salah faham putar belit, ditakut-takutkan dengan gambaran kekerasan dan kafir mengkafir, dipenjara serta ancaman ugutan, akhirnya penerimaan umum telah membawa kepada perundingan.

“Akhirnya orang ajak dan setuju nak berunding, nak berdamai. Maka kita (PAS) terima. Ini Quran suruh begitu, bertawakal kepada Allah (ayat 61 surah al-Anfal), bukan kita pandai-pandai buat, Quran mengarahkan. Hasil perundingan inilah, maka kita berjaya mengemukakan usul 355 untuk dibahaskan di Parlimen melalui undi pada akhirnya.

“Ini baru peringkat awal, ini tanggungjawab kita. Kita buka peluang (penerangan) kepada semua pihak, bukan sahaja masa, termasuklah keadaan, bukan sahaja di Parlimen, juga di luar Parlimen. Alhamdulillah, semua saudara-saudara yang mengundi PAS dalam pilihan raya, sudah menunaikan tanggungjawab yang besar.

“Kerana wakil-wakil saudara di Parlimen, di Negeri, menunaikan tanggungjawab yang besar untuk jadi saksi pada hari kiamat kelak. Ini yang paling penting sekali. Masalah boleh tak boleh, itu hal lain, kita kena faham. Niat di hati kita ikhlas, marilah. Dan kita kena sedar, dunia pada hari ini sangat takut kalau Islam dilaksanakan balik,” terang beliau.

No comments:

Post a Comment