Sudut Iklan

Friday 18 September 2015

Tragedi kren: 
Haji dan takdir


SAIFULIZAM MOHAMAD | 17 September 2015 1:24 AM

Kira-kira pukul 5.45 petang waktu tempatan Arab Saudi (10.45 malam waktu Malaysia) Jumaat lalu, negara dikejutkan dengan berita kren tumbang di Masjidilharam akibat ribut yang sehingga kini mengorbankan lebih 100 jemaah haji termasuk dari Malaysia.


Jemaah Malaysia yang terlibat ialah Rusiah Suar, 56, yang berasal dari Sungkai, Perak; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai, Kelantan; Munah Jusoh, 74, Cherang Ruku, Kelantan; Siti Nuroshlizan Zolkifli, 37, Tanah Merah, Kelantan dan Zainun Taha, 69, Ampang, Selangor.

Sebanyak 10 lagi jemaah haji Malaysia mengalami kecederaan dan lima daripadanya telah dibenarkan pulang ke maktab masing-masing selepas menerima rawatan manakala selebihnya masih berada di hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut ekoran mengalami patah di beberapa anggota badan.

Seandainya lima jemaah yang cedera itu masih belum sembuh sehingga Hari Wukuf yang dijangka pada 23 September ini, waris di tanah air tidak perlu bimbang kerana pihak pengurusan Tabung Haji di Tanah Suci tetap akan memastikan mereka berada di Padang Arafah pada tarikh tersebut.

Sehari sebelum wukuf kebiasaannya semua jemaah akan menuju ke Padang Arafah dengan menggunakan pengangkutan awam tetapi bagi urusan pengangkutan jemaah yang uzur Tabung Haji akan menguruskannya termasuk penempatan mereka di padang tersebut.

Wukuf di Padang Arafah adalah salah satu rukun haji dan juga kemuncak dalam ibadat tersebut, oleh itu sesiapa yang gagal berada di tempat berkenaan dalam seketika iaitu bermula Zuhur 9 Zulhijah (23 September ini) sehingga sebelum fajar 10 Zulhijah maka seseorang itu tidak dikira memperoleh haji.

Berbalik kepada insiden kren tumbang berhampiran pintu As Salam bersebelahan bangunan saie, kejadian itu benar-benar mengejutkan rakyat negara ini dan dunia secara keseluruhannya. Malah Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz telah berjanji untuk menyiasat punca utama kren tumbang ketika melawat lokasi kejadian. Baginda juga berjanji akan mengumumkan hasil siasatan tersebut.

Paling menyentuh hati gambar baginda bersama-sama dengan jemaah lain mengangkat keranda salah seorang mangsa korban kejadian tersebut menjadi viral malah turut dipaparkan dalam #UtusanLive.

Bagi waris lima jemaah Malaysia yang terkorban dalam kejadian tersebut sudah tentu akan merasai kehilangan keluarga mereka yang sepatutnya pulang ke tanah air pada bulan depan secara beransur-ansur selepas selesai menunaikan ibadah haji. Namun apakan daya ketentuan Allah adalah segala-galanya, apabila kelima-lima jemaah Malaysia itu dipanggil mengadap Ilahi selepas terkorban dalam kejadian kren tumbang itu.

Sesungguhnya kematian para jemaah tersebut adalah sebaik-baik kematian kerana mereka mengadap Ilahi di saat mereka berada di dalam Masjidilharam yang dijanjikan ganjaran sebanyak 100,000 kali ganda yang mungkin pada masa itu masing-masing sedang mengabdikan diri kepada Allah.

Menurut sebuah hadis dari Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Satu sembahyang di masjidku lebih afdal daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali Masjidilharam (di Mekah) dan satu sembahyang di Masjidilharam pula lebih afdal daripada seratus ribu sembahyang di masjid-masjid yang lain.”

Apatah lagi sekiranya ada dalam kalangan mereka itu terkorban ketika masih dalam pakaian ihram kerana menunaikan ibadah umrah. Secara zahirnya kematian pada jemaah terlibat amat mulia di sisi Allah SWT. Yang pasti lima mangsa jemaah Malaysia termasuk mangsa-mangsa lain juga akan disembahyangkan oleh jutaan jemaah lain di Masjidilharam dan kelebihan itu hanya dinikmati oleh mereka yang meninggal dunia di Mekah.

Cuba lihat salah satu intipati ayat 34 surah al-Luqman yang bermaksud: “Tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.” Ayat al-Quran di atas dengan jelas memberitahu bahawa kematian adalah rahsia Allah dan hanya Allah sahaja yang tahu di bumi manakah seseorang hamba itu akan meninggal dunia.

Demikianlah takdir lima jemaah Malaysia itu bersama-sama dengan 102 jemaah negara lain apabila mereka semua dijemput menemui Allah di bumi Mekah yang suci. Inilah qada dan qadar yang telah ditentukan buat mereka.

Pujian juga harus diberikan kepada pihak pengurusan Tabung Haji di Tanah Suci apabila segera bertindak mengerahkan pasukan khas mereka yang terdiri daripada pasukan kebajikan, perubatan dan unit peronda mengesan jemaah Malaysia sebaik sahaja kejadian itu berlaku.

Tabung Haji turut bekerjasama dengan Muassasah Asia Tenggara ketika berusaha menjejaki jemaah Malaysia yang mungkin terlibat dalam kejadian tersebut. Akhirnya mereka berjaya mengesan 10 jemaah yang cedera sebelum dimaklumkan lima lagi jemaah disahkan meninggal dunia. Kini pihak Tabung Haji sedang memperhebatkan lagi pencarian dua lagi jemaah Malaysia yang masih hilang iaitu Abdul Habib Lahman, 68 dari Sik, Kedah dan Shahidan Saad, 52, Kodiang, Kedah.

Kepada para jemaah yang lain, lakukanlah ibadat sehingga selesai kerja-kerja haji dengan penuh khusyuk dan tawaduk kerana sesungguhnya peluang untuk menunaikan rukun kelima Islam itu terlalu mahal nilainya.

Gunakanlah peluang berada di Tanah Suci dengan sebaik-baiknya dan letakkanlah harapan yang tinggi supaya segala ibadat yang dikerjakan di Tanah Suci diterima oleh Allah. Mohonlah juga pada Allah agar semua jemaah dapat menunaikan kerja-kerja haji dengan lancar dan sempurna tanpa berlaku lagi kejadian yang tidak diingini.

Penulis dan semua umat Islam di tanah air akan sentiasa mendoakan kebaikan serta kesejahteraan para jemaah Malaysia serta seluruh dunia di Tanah Suci. Mudah-mudahan semua jemaah negara ini akan memperoleh haji mabrur.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/tragedi-kren-8232-haji-dan-takdir-1.136848#sthash.VGuFkMZW.dpuf

No comments:

Post a Comment