Sudut Iklan

Tuesday 8 September 2015

Dapat rawatan jika alami simptom berkaitan jerebu


Pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya dilanda jerebu dengan Indeks Pencemaran Udara dicatat pada bacaan 95 pada jam 2 petang. Kelihatan burung undan bertapak di atas jambatan di pesisiran jalan Persiaran Persekutuan dalam keadaan berjerebu hari ini. - Foto Bernama


7 SEPTEMBER 2015


KUALA LUMPUR - Orang ramai khususnya kanak-kanak dinasihati supaya mendapatkan rawatan segera di klinik dan hospital berdekatan sekiranya mengalami simptom penyakit berkaitan jerebu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, di pihak kementerian pula sentiasa memantau penyakit berkaitan jerebu seperti jangkitan saluran pernafasan, asma dan sakit mata di klinik dan hospital di seluruh negara.

"Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang, apa yang penting ialah mengikut saranan langkah-langkah pencegahan yang dikeluarkan kementerian," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan sebagai berkata, cuaca kering dan berjerebu yang melanda negara sekarang diramal berakhir dengan bermulanya musim peralihan monsun pada Oktober depan.

Dr Lokman Hakim berkata, buat masa ini tidak ada keperluan untuk mewujudkan sebuah kaunter khas khusus untuk kes penyakit berkaitan jerebu di klinik dan hospital.

Katanya orang ramai juga dinasihati supaya berada di dalam bangunan dan rumah, dan mengurangkan aktiviti di kawasan terbuka.

Dr Lokman Hamim berkata bagi yang perlu berada di luar rumah, mereka diminta memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan penyakit berkaitan jerebu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Kwan Kok Foo berkata, ketika ini jabatan belum lagi merancang untuk melaksanakan pembenihan awan bagi menghasilkan hujan untuk membantu mengurangkan kesan jerebu.

Katanya pembenihan awan hanya akan dilaksanakan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 iaitu tidak sihat dan berlaku tiga hari berturut-turut.

"JMM hanya akan melakukan pembenihan awan apabila perlu mengikut prosedur operasi standard yang diamalkan sebelum ini untuk mengatasi masalah jerebu," katanya.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). - Bernama

No comments:

Post a Comment