Sudut Iklan

Monday 14 September 2015

Bai'ah: Kafarah tebus taklik tidak sah


Muka depan utama akhbar Sinar Harian hari ini.

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
14 SEPTEMBER 2015


SHAH ALAM – Kafarah yang dilakukan bagi menebus taklik talak tiga dilafazkan ketika berbaiah adalah tidak sah.

Pensyarah Kanan Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, ini kerana talak tetap jatuh dan tidak boleh ditarik balik sekiranya taklik tersebut dilanggar.

“Apabila kita gantungkan taklik itu dengan sesuatu perbuatan atau perkataan, sebagai contoh kalau saya lompat parti, maka saya ceraikan isteri saya talak tiga, maka jatuhlah talak. Talak pula memang tak boleh ditebus.

“Jadi sebarang kenyataan bahawa taklik terbatal setelah mereka bayar kafarah, itu tidak betul,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kekeliruan mengenai kafarah dilakukan wakil rakyat yang melompat parti bagi membatalkan baiah dan taklik dilafazkan kepada parti lama sebelum ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya situasi tersebut berlaku, maka mereka yang melafazkan baiah perlu merujuk kepada mahkamah syariah untuk mengesahkan status perkahwinan.

“Mereka tak boleh setakat kata sudah rujuk ustaz tertentu.

"Kena rujuk mahkamah syariah sebagai mengikut amalan undang-undang di negara ini,” katanya.

Menurut Mohd Izhar Ariff, baiah yang mengandungi taklik adalah berbeza dengan baiah atau sumpah tidak melompat parti yang boleh dibatalkan dengan kafarah.

“Baiah ada dua perkara yang berbeza hukum, pertama baiah sumpah untuk tidak lompat parti. Apabila seseorang bersumpah dengan ‘wallahi, wabillahi, watallahi’, maknanya dia bersumpah dengan nama ALLAH.

“Jika sumpah ini dilanggar, maka diwajibkan kafarah ke atas mereka. Kafarah ini tidak boleh lari daripada tiga perkara iaitu memberi makan 10 orang fakir miskin, memberi pakaian 10 orang fakir miskin atau memerdekakan seorang hamba.

“Sekiranya individu itu tidak mampu melakukan ketiga-tiganya, maka dia perlu berpuasa tiga hari berturut-turut. Hanya selepas itu, sumpah tersebut boleh dibatalkan,” katanya.

Baiah talak tiga keterlaluan

Dalam pada itu, ketika ditanya pandangannya mengenai parti politik yang menggunakan baiah, Mohd Izhar berkata, ia boleh dianggap sebagai amalan politik yang tidak sihat.

“Mereka sepatutnya sedar bahawa politik adalah sesuatu yang tidak jelas, kita tidak tahu apa yang berlaku pada masa depan, mungkin menang mungkin kalah. Cukuplah sekadar baiah sumpah sebab ia boleh ditebus tapi kalau melibatkan talak, ia memang keterlaluan.

“Saya juga mahu menasihatkan ahli politik supaya tidak menjual agama demi mendapatkan habuan politik. Apatah lagi jika mereka melibatkan orang yang tak bersalah seperti isteri dan anak-anak,” katanya.

Beliau berkata, setiap parti politik sama ada pembangkang atau pemerintah perlu merujuk kepada mufti dan Majlis Fatwa sebelum membuat apa-apa keputusan berkaitan agama.

“Walaupun dalam politik, mereka tetap perlu menghormati institusi fatwa dan kehakiman di Malaysia. Ini kerana mufti tidak ada kepentingan kepada mana-mana pihak,” katanya.

Jelasnya, baiah yang mengandungi taklik talak bukan satu-satunya cara untuk mengikat kesetiaan ahli kepada parti.

“Parti politik juga perlu bersikap terbuka dan tak boleh mengongkong ahlinya. Dalam hal ini, golongan ulama dalam parti politik seharusnya lebih berani dan bukan sekadar menjadi ‘pak turut’.

“Kalau parti mereka melakukan sesuatu yang salah, tegurlah dan betulkan keadaan. Jangan hanya kerana baiah, institusi keluarga berpecah-belah,” katanya.

No comments:

Post a Comment