Sudut Iklan

Thursday 10 September 2015

SK Pulau Aman hanya ada tiga calon


TIGA calon mendengar taklimat pengawas peperiksaan sebelum menjawab soalan UPSR di SK Pulau Aman, Batu Kawan, Pulau Pinang, semalam.

09 September 2015

BATU KAWAN 8 Sept. – Biarpun hanya memiliki tiga calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, namun perkara itu tidak dipandang ringan pengurusan Sekolah Kebangsaan Pulau Aman (SKPA) di sini.


Malah sejak awal tahun lagi, pelbagai program motivasi dan persediaan menghadapi peperiksaan diadakan bagi mengekalkan prestasi murid sebelum berdepan UPSR yang bermula hari ini.

Guru Besar SKPA, Mohammad Nasuha Abas berkata, antara program yang diadakan adalah membawa murid-murid itu belajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil, Nibong Tebal selama seminggu.

Menurutnya, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada murid-murid terbabit mengenai silibus yang digunakan di sekolah lain serta memberi semangat kepada mereka.

“Tahun ini hanya ada tiga calon UPSR di sekolah ini namun kami tidak memandang ringan prestasi akademik mereka malah mengadakan pelbagai program pemacu kecemerlangan untuk mereka.

“Kami juga adakan program motivasi selain tuisyen intensif bagi memberi penekanan kepada subjek Bahasa Inggeris yang amat kurang dikuasai murid-murid ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Calon-calon UPSR SKPA tahun ini ialah Ayuni Zulaikha Ahmad Zuki; Noor Fitriah Atira Saibi dan Siti Aishah Hadie.

Terdapat 24 murid yang sedang belajar di SKPA tahun ini termasuk hanya seorang murid tahun satu dengan 12 guru dan tiga pekerja.

Selain seorang murid tahun satu dan tiga murid tahun enam, SKPA memiliki tiga murid tahun dua, tahun tiga (lima), tahun empat (10) dan tahun lima (dua).

Mohammad Nasuha menambah, sasaran mereka tahun ini adalah 80 peratus lulus dan berharap calon-calon itu mendapat gred A dan B sahaja dalam semua kertas peperiksaan.

Jelasnya, pencapaian terbaik SKPA dalam UPSR adalah pada 2011 apabila salah seorang calonnya mendapat 5A.

“Bagi memberi semangat kepada murid-murid ini, kita galakkan ibu bapa datang menemani mereka di sekolah pada waktu rehat.

“Selain itu disebabkan sekolah ini tiada kantin, jadi ibu bapa digalakkan menghantar makanan untuk anak-anak mereka pada waktu rehat dan makan bersama-sama,” ujarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/sk-pulau-aman-hanya-ada-tiga-calon-1.133564#sthash.8TYqwn02.dpuf

No comments:

Post a Comment