Sudut Iklan

Monday 7 September 2015

Hubungan dingin PKR dan Amanah sulitkan kerjasama Pakatan 2.0


Barisan pemimpin Parti Amanah Rakyat semasa sidang media pengumuman penubuhan parti baharu itu pada 31 Ogos 2015 di Kuala Lumpur. - Astro AWANI/Shahir Omar

Irwan Muhammad Zain, Astro Awani |  September 07, 2015

KUALA LUMPUR: Selepas Pakatan Rakyat diumumkan berakhir perjuangannya oleh DAP, ada usaha untuk membentuk gabungan baharu pakatan pembangkang yang mahu dikenali sebagai Pakatan 2.0, dengan perkiraan DAP, PKR dan sebuah parti baharu akan bekerjasama membentuk muafakat ini.

Parti baharu yang akan bersama-sama membentuk Pakatan 2.0 bakal ditunjangi pemimpin PAS yang tewas pada pemilihan parti Islam itu ketika muktamar ke-61 yang berlangsung di Kuala Selangor.

Mereka – pemimpin PAS yang tewas itu – pada mulanya membentuk Gabungan Harapan Baru (Harapan Baru) yang didakwa sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO), tetapi akhirnya memilih untuk menjadi sebuah parti politik yang dikenali sebagai Parti Amanah Negara (Amanah).

Maka, Pakatan 2.0 dibayangkan adalah kerjasama baharu atau diislamkan dengan istilah Tahaluf Siyasi (istilah sangat popular sejak 2008) antara Amanah, DAP dan PKR.

Rakyat, khususnya penyokong pembangkang dijanjikan bahawa gabungan baharu ini akan meneruskan perjuangan Pakatan Rakyat yang telah disemadikan oleh pemimpin DAP.

Tetapi, umpama bait lirik lagu Layang-Layang Terputus Talinya dengan Alleycats, "namun indah mimpi dari realiti..", begitu juga kisah Pakatan 2.0 ini.

Harapan pemimpin Amanah dan DAP untuk melihat kerjasama baharu ini berjalan lancar dan mendapat kerjasama sebaiknya dari PKR, nampaknya tidaklah semudah yang diharapkan.

Sebelum Amanah ditubuhkan lagi, sudah ada suara-suara dari PKR yang tidak bersetuju dengan penubuhan parti baharu ini.

Alasan yang diberikan masuk akal – parti baharu tidak memberi nilai tambah dan akan menyebabkan berlakunya pecah undi, dengan kata lain, parti baharu lebih menguntungkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Perkembangan mukathir ini memperlihatkan seolah-olah Pakatan 2.0 ini hanya dipersetujui oleh Amanah dan DAP, manakala PKR pula mahu bekerjasama dengan semua parti pembangkang termasuk PAS.

Umum mengetahui Amanah dan DAP tidak menyenangi PAS, tetapi bagi PKR, mereka boleh berkawan dengan semua dan tidak ada mana-mana pihak boleh mengarahkan mereka untuk memilih sesiapa.

Hubungan dingin PKR dan Amanah boleh dilihat ketika pemimpin parti baharu itu berkunjung ke Sarawak semalam. Majlis memperkenalkan Amanah yang diketuai oleh Pengerusinya Mohamad Sabu tidak dihadiri oleh pemimpin PKR Pusat dan Sarawak.

Selain tidak hadir pada acara di Sarawak, PKR Kelantan juga seolah-olah memboikot semua program yang dianjurkan Amanah di negeri yang dikuasai PAS sejak 1990 itu.

Kalau ada pun pemimpin PKR Kelantan yang hadir ke program atau ceramah anjuran Amanah, ialah adalah atas kapasiti peribadi bukan mewakili parti.

Apa yang berlaku ini sedikit sebanyak menganggu kelancaran gabungan baharu pembangkang yang diuar-uarkan sebelum ini.

Malah kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali melukakan pemimpin Amanah dan DAP.
Apakah hanya DAP dan Amanah akan berjuang dengan Pakatan 2.0 dan meninggalkan PKR dan PAS? Apakah perkembangan dalaman PKR menyebabkan ada pemimpin parti itu menyertai Amanah?

Hanya masa akan menentukan.

_________________________________________

*Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

No comments:

Post a Comment