Sudut Iklan

Tuesday 15 September 2015

'Saya takkan pakai baju merah' - Nazir Razak


16 September adalah hari untuk meraikan kepelbagaian di Malaysia - Nazir

Madiha Abdullah, Astro Awani |  September 13, 2015 09:55 MYT

KUALA LUMPUR: Rabu 16 September ini adalah hari di mana rakyat Malaysia perlu meraikan kepelbagaian yang berjaya dibentuk di negara ini.

Itu yang dinyatakan Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak dalam catatan terbaharu di laman Instagram miliknya, sekaligus menolak untuk memakai 'baju merah' yang dilihat sinomim dengan cadangan sesetengah pihak untuk mengadakan "Perhimpunan Baju Merah" yang diwar-warkan bakal diadakan pada tarikh tersebut.

Dalam status yang dimuat naik semalam itu, kata Nazir, kepelbagaian tersebut, yang boleh didapati dalam banyak aspek seperti agama dan budaya, adalah satu perkara penting yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik dan tersendiri.

Secara tidak langsung, ia dilihat sebagai satu 'protes kecil' Nazir terhadap perhimpunan yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu itu.

Perhimpunan Baju Merah atau turut dikenali sebagai 'Himpunan Rakyat Bersatu' dijangka akan berlangsung pada 16 September ini, walaupun masih tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa, penganjur dilihat tetap bertegas untuk melaksanakannya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini memberitahu pihaknya akan menimbangkan untuk memberi kebenaran sekiranya perhimpunan dibuat di kawasan tertutup.

Manakala Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata polis tidak akan membenarkan penganjuran perhimpunan berkenaan diadakan atas faktor keselamatan.
Manakala penganjur, Gabungan NGO-NGO Malaysia berkata perhimpunan yang dinamakan Perhimpunan Padang Merbok itu akan diteruskan meskipun permit yang dimohon daripada pihak berkuasa masih belum diperolehi.

No comments:

Post a Comment