Sudut Iklan

Saturday 12 September 2015

Fikirlah: Tanggungjawab Ibu Bapa Membentuk Akhlak Anak

Gambar hiasan dari Google

Komentar oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Hati berbuku melihat berita yang terpampang di dada akhbar beberapa hari lepas. Dalam banyak-banyak berita, berita itu yang menyebabkan saya spontan mengeluh panjang.

"Apalah nak jadi dengan budak-budak ni? Ada peluang belajar tak nak belajar."

Tajuk berita yang saya maksudkan adalah "Kantoi ponteng" - 20 pelajar terkedu 'aktiviti luar' sekolah terbongkar" yang disiar akhbar Harian Metro, 8 Sept 2015.

Bukan sahaja ponteng tetapi sebilangan besar pelajar dicekup sedang menghisap rokok! Tempat lepak mereka 100 meter dari pagar sekolah. Mereka dicekup sekumpulan ibu bapa, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta anggota polis.

MASALAH LAMA

Ponteng sekolah bukan perkara baru. Pelajar merokok pun bukan perkara baru. Penulis percaya pihak sekolah melakukan pelbagai cara untuk mendidik pelajar supaya tidak melakukan kesalahan-kesalahan itu.

Ibu bapa juga mungkin berkata "sudah berbuih mulut menasihatkan anak-anak mereka supaya menjauhi perkara sedemikian."

Namun bagi sesetengah, pelajar, sesetengah anak, nasihat itu seperti perumpamaan "Menuang air di daun keladi", "masuk telinga kanan, keluar telinga kiri."

Penulis melontarkan soalan disiplin pelajar kepada seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Selangor.

Mendengar jawapan serta perkongsian guru itu tentang masalah pelajar di sekolah di mana beliau mengajar, penulis berfikir "semakin sukarnya tugas seorang guru."

Kisah murid tidur dalam kelas, bergaduh, merempit, merosakkan harta sekolah serta terlibat dalam gejala sosial yang melibatkan pelajar lelaki dan perempuan antara yang meruntun hati guru tadi.

Masalah ponteng sekolah dan merokok turut dikongsi dengan penulis.

Guru ini merujuk satu kes pelajar yang dihimpit masalah kewangan sehingga perlu dibantu dan pelajar itu kemudiannya dicekup kerana merokok.

"Pelajar itu beritahu saya dia hanya beli sebatang rokok sahaja sedangkan duit makan pun kita beri."

"Tak ada jati diri. Tak fikir masa depan. Pengetahuan agama juga cetek dan mengabaikan ibadah solat.

"Ada juga pelajar yang kehidupan keluarga tidak menentu, ibu bapa bercerai, ayah dalam penjara dan anak-anaklah yang terabai," demikian kata guru itu, merumuskan faktor berhubung masalah disiplin yang melanda anak muda serta pelajar kepada penulis.

KISAH ANAK TELADAN

Memang cepat sahaja hendak marah kalau mendengar soal disiplin pelajar atau membaca berita anak-anak yang melakukan perkara yang bukan-bukan ini.

Soal disiplin pelajar bukan sahaja berlaku di kalangan anak-anak yang terabai atau daripada keluarga bermasalah.

Ada yang daripada keluarga berada pun terjerat dengan isu disiplin, mungkin kerana terlalu dimanjakan.

Apa sahaja hendak emak dan ayah sediakan, belikan sehingga anak-anak tidak dapat menghargai kesenangan dan keberadaan mereka!

Lalu penulis teringat kisah anak gelandangan di Cebu, Filipina yang duduk membuat kerja sekolah di sebatang jalan sambil menumpang cahaya lampu sebuah restoran makanan segera.

Berita anak kecil ini Daniel Cabrera, 9, yang begitu tekun membuat kerja sekolahnya menjadi viral sehingga turut disiarkan banyak media asing.

Anak ini dipetik sebagai berkata meskipun hidup melarat, dia tekad belajar dan berazam mahu menghabiskan persekolahannya supaya dapat memberi masa depan yang lebih baik untuk ibu dan adiknya.

Beberapa hari lepas juga akhbar menyiarkan berita serta gambar pelajar yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Turut disiar beberapa pelajar yang mengambil peperiksaan di hospital.

Antaranya Mohd Munir Suhaimi mengambil peperiksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Munir menghidap kanser tulang punggung.

Kegigihan Munir untuk terus mengejar kecemerlangan meskipun menghidap penyakit perlu diteladani dan menjadi pembakar semangat setidak-tidaknya rakan sebaya untuk memanfaatkan kesihatan yang mereka memiliki.

Ada anak-anak di kawasan pedalaman yang terpaksa berjalan kaki termasuk meredah belukar untuk ke sekolah. Ada juga yang terpaksa menyabung nyawa menaiki bot yang merentas air sungai yang deras dalam kegelapan pagi untuk ke sekolah.

Malah ada yang terpaksa berdiri di atas bumbung bot seperti gambar yang dipapar beberapa akhbar Jumaat 11 September iaitu sekumpulan pelajar menaiki bot menyeberangi Sungai Musi di Palembang, Sumatera.

PERANAN IBU BAPA

Apa pun, sekarang bukan masanya untuk tuding-menuding jari! Kewajipan mendidik anak adalah tanggungjawab ibu bapa.

Maaf cakap, kalau pun anak dihantar ke tadika atau apa juga bentuk pra-sekolah, ibu bapa tidak boleh lepas tangan dan mengharapkan guru mengambil alih tugas itu.

Seorang pakar motivasi pernah memberitahu penulis ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan kemahiran keibubapaan untuk menangani karenah anak.

Bukan semua yang berkahwin itu bersedia menjadi ibu bapa kerana tidak mempunyai ilmu atau mendapat asuhan untuk menjadi ibu bapa!

Pakar motivasi itu berkata ibu bapa adalah orang yang membentuk acuan jati diri anak dan sekiranya mereka mahu membentuk akhlak anak mereka, ia perlu bermula dengan diri mereka sendiri.

Teringat juga tazkirah seorang pendakwah muslimah yang menegaskan kalau anak bermasalah, ibu bapa perlu melihat kembali diri mereka kerana mungkin ada bahagian mereka yang menyebabkan anak bermasalah.

Dalam hal ini beliau menasihatkan ibu bapa bermuhasabah diri dan antaranya, melihat kembali bagaimana hubungan mereka dengan Allah iaitu solat mereka.

Ibu bapa perlu juga ingat bahawa setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya.

Berpeganglah juga kepada peribahasa "Hendak melentur buluhlah biar dari rebungnya!"

-- BERNAMA (Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis)

No comments:

Post a Comment