Sudut Iklan

Friday 18 September 2015

Bantu jemaah haji, umrah di tanah suci


MUHAMMAD RAFIE MOHD. ARSHAD menunjukkan salah satu aplikasi Android berkaitan ibadat haji dan umrah yang dibangunkan penyelidik USM di Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini.

USM bangunkan aplikasi mudah alih Android
MOHD. KHUZAIRI ISMAIL | 16 September 2015 12:10 AM


PULAU PINANG 15 Sept. - Dalam usaha membantu jemaah haji dan umrah melakukan ibadat di tanah suci Mekah dan Madinah dengan sempurna, penyelidik USM membangunkan beberapa aplikasi yang boleh dimuat turun menerusi telefon bimbit.

Antara aplikasi mudah alih yang menggunakan medium Android itu adalah M-Umrah; Jelajah Maya Madinah; Penjejak Lokasi Makkah AR; Penjejak Lokasi Madinah AR dan Sistem Penjejak Lokasi Makkah GPS.

Menurut penyelidik dan pensyarah Pusat Pengajian Sains Komputer USM, Prof. Madya Muhammad Rafie Mohd. Arshad, usaha itu bagi membantu mempermudahkan ibadat jemaah haji dan umrah terutama dalam kalangan mereka yang pertama kali mengerjakan ibadat tersebut.

Dengan aplikasi M-Umrah misalnya, kata beliau, para jemaah boleh mendapatkan panduan mengenai cara-cara mengerjakan ibadat umrah daripada persediaan di tanah air sehingga selesai.

Tambahnya, aplikasi itu dibangunkan melibatkan komponen permasalahan, tatacara, bacaan doa serta semakan akhir (sah atau tidak) dengan sistem carian para jemaah umrah.

“Sistem ini juga dibangunkan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris secara percuma serta versi pro yang berbayar termasuk dalam bahasa Indonesia,” katanya.

Tambah beliau, aplikasi Jelajah Maya Madinah pula bertujuan membantu mereka yang ingin menjejaki kota suci Madinah dengan tatacara yang mengikut sunah dan adab-adab tertentu di samping pelbagai panduan yang boleh diikuti.

Tambahnya, aplikasi Penjejak Lokasi Makkah AR; Penjejak Lokasi Madinah AR dan Sistem Penjejak Lokasi Makkah GPS pula dapat membantu jemaah mencari arah ke lokasi yang ingin dituju pada peta yang berintegrasi dengan lantai Masjidilharam sekali gus memudahkan jemaah mengetahui kedudukan mereka.

Menariknya, kata beliau, usaha juga dibuat untuk membangunkan aplikasi Sistem Penjejak Lokasi Jemaah Tersesat SMS/GPS berasaskan sistem pengoperasian Android.

“Sistem ini boleh digunakan untuk menjejak lokasi jemaah yang hilang atau kedudukan petugas di lapangan yang terdiri daripada Tablet Pelayan - Pusat Kawalan yang mengendalikan penerimaan SOS SMS bagi mendapatkan bantuan untuk jemaah yang mendaftar,” jelasnya.

Menurut beliau, kesemua aplikasi itu dibangunkan menggunakan geran penyelidikan di bawah Universiti APEX dan Kluster Penyelidikan Haji sejak beberapa tahun lalu.

“Kita berharap usaha ini dapat membantu umat Islam di seluruh dunia mengerjakan haji atau umrah dengan sempurna berdasarkan panduan-panduan yang disediakan,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/bantu-jemaah-haji-umrah-di-tanah-suci-1.136300#sthash.iM8rsWAN.dpuf

No comments:

Post a Comment