Sudut Iklan

Ruang Iklan

Friday, 17 May 2013

Rencana Pilihan : Muhammad SAW, guru umat sepanjang zaman

Muhammad SAW, guru umat sepanjang zaman
YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, 17 Mei 2013


Nabi kita Muhammad SAW telah dilahirkan ketika seluruh dunia benar-benar memerlukan petunjuk daripada Allah Taala, yakni setelah ajaran para Rasul tidak didengar lagi. Iaitu ketika tanda-tanda ajaran Allah Taala telah disia-siakan, ketika dahsyatnya kesesatan (tidak kira sama ada dilakukan oleh penduduk di atas buminya didirikan sebuah Ka‘abah, mahupun juga wilayah Rom tempat berkembangnya agama Kristian). Begitu juga kepada penganut agama Majusi, penyembah api dan penganut ajaran Mazdak, termasuklah di daerah-daerah lain di seluruh pelosok dunia, semuanya berada di dalam kesesatan.

Antara penduduk yang berada dalam kesesatan jahiliyyah itu ialah :

Kesesatan Penduduk Semenanjung Tanah Arab.

Dahulunya (sebelum diutuskan Nabi Muhammad), penduduk Semenanjung Tanah Arab menganut agama Allah Taala yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan Nabi lsmail. Tetapi setelah berlalu masa yang lama, mereka menjadi sesat lalu menyembah berhala yang dipahat dan diukir oleh tangan mereka sendiri. Meskipun tiap-tiap tahun mereka mengerjakan Haji yang disunnahkan oleh Nabi Ibrahim ‘alaihis-Salam tetapi mereka melupai agama Tauhid yang sebenarnya, menyebabkan mereka mengadakan berhala yang banyak di tanah Arab (tidak sekadar di rumah ibadat dan tempat-tempat yang tertentu tetapi juga di rumah kediaman).

Terdapat banyak berhala yang terkenal dalam kalangan mereka iaitu :
1. Berhala Manat
2. Berhala Al-Lata
3. Berhala Al-Uzza

Manat, berhala yang paling awal dicipta di antara berhala-berhala mereka. Berhala ini terletak di pantai Laut Merah. Mereka memuja berhala ini, menyembelih korban di kelilingnya dan memberi hadiah kepadanya. Berhala ini paling dihormati di kalangan kaum ‘Aus dan Khazraj, sehinggakan mereka mencukur kepala untuk bertahallul Haji di sisinya.

Al-Lata, berhala ini terletak di Ta‘if dan dijaga oleh Bani Thaqif. Orang-orang Quraisy dan kabilah Arab yang lain sangat memuliakan berhala ini. Apabila tentera Islam selesai menawan kota Makkah, Rasulullah SAW telah memerintahkan Abu Sufian bin Harb menghancurkannya.

Al-Uzza. Berhala ini terletak di jalan menuju ke Iraq dan paling dimuliakan oleh orang-orang Quraisy. Mereka selalu menziarahinya kerana menyembelih korban, menamakan anak dengan namanya bahkan bersumpah dengannya dan menyebutnya ketika mereka mengerjakan tawaf di Makkah di hadapan Kaabah. Berhala ini dijaga oleh Bani Sulaim. Ketika Makkah dibebaskan oleh tentera Islam, Rasulullah SAW memerintahkan Khalid bin al-Walid meroboh dan menghancurkannya.

Dengan megahnya Khalid bin al-Walid berkata, "Wahai berhala ‘Uzza, kafirlah kamu, tiada suci bagimu, sesungguhnya aku melihat Allah (menghinamu)."

Bangsa Arab Jahiliyah juga turut menganggap ketiga-tiga berhala itu sebagai anak-anak perempuan Tuhan. Di sana Allah Taala telah menolak pembohongan mereka dengan firman-Nya :

"Apakah patut kamu (hai orang-orang Musyrikin) menganggap al-Lata al-Uzza."

"Dan Manat yang ketiga yang paling terkemudian."

"Apakah patut untuk kamu anak lelaki dan untuk Allah anak perempuan."

"Yang demikian itu tentulah suatu pembahagian yang tidak adil."

"Itu tidak lain melainkan nama-nama yang kamu dan bapa-bapa kamu sebut yang Allah tidak turunkan keterangan tentangnya (untuk menyembah). Mereka hanya menuruti sangkaan dan menurut apa yang diinginkan oleh hawa nafsu mereka, pada hal sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk dari Tuhan mereka" (Surah al-Najm : ayat 19-23)

Selain itu banyak lagi berhala lain yang disembah dan dipuja oleh mereka dan berbagai-bagai nama diberikan kepada berhala-berhala itu. Mereka kadang-kadang tidaklah beriman secara mendalam kepada berhala-berhala itu. Ada pula yang melampau sehingga menganggapnya sebagai anak tuhan. Ada juga dalam kalangan mereka yang menjadikannya sebagai perantaraan seperti yang didedahkan oleh Allah Taala:

"Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (daripada segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”, – sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)." (Surah al-Zumar : ayat 3)

Kadang-kadang, mereka secara nyata menjadikan berhala itu sekutu bagi Allah dengan menganggap bahawa Allah itu lebih tinggi, seperti yang dinyatakan oleh mereka di dalam talbiah ketika mereka mengerjakan Haji:

"Ya wahai tuhan ya, tiada sekutu bagi-Mu melainkan sekutu untuk-Mu. Engkau memilikinya dan dia tidak memiliki Engkau."

Kadang-kadang pula mereka mengingkari berhala itu dan menghinanya apabila hajat mereka tidak berhasil dan bala tidak tertolak. Begitulah pegangan sebahagian besar penduduk Semenanjung Tanah Arab. Kesimpulannya dapatlah dikatakan bahawa sebenarnya mereka itu sesat dan tidak mempunyai pegangan yang tetap dan benar.

Di samping itu ada juga dalam kalangan mereka orang-orang yang berakal dan beriman kepada Allah Taala serta menolak fahaman keberhalaan seperti Zaid bin Nufail, Umaiyah Abi al-Salat, Qis bin Sa‘idah dan lain-lain. Zaid bin Nufail pernah berkata, "Aku tinggalkan al-Lata dan al-‘Uzza semuanya. Demikianlah dilakukan oleh lelaki yang sabar. Maka tidak berhala Uzza dan juga tidak kedua anaknya menjadi agamaku. Dan aku tidak sekali-kali menziarahi berhala Bani Amru Tetapi aku menyembah Tuhan Yang Maha Pengasih agar dosaku diampun oleh Tuhan Yang Maha Pengampun."

Ada juga di kalangan mereka yang hidup semasa kedatangan Islam tetapi tidak mahu memeluk Islam. Ada juga di kalangan mereka yang dipuji oleh Rasulullah SAW dan dijamin masuk syurga iaitu Warqah bin Naufal dan Qis bin Sa‘idah.

Kesesatan Kerajaan Rom Timur (Byzantine) dan Rom Barat

Kesesatan begitu juga berlaku dijajahan takluk Rom Byzantine seperti Syam dan Mesir. Pada mulanya penduduk di sana menganut agama Nasrani, (yakni) yang berasal dari agama Tauhid yang mengikut Nabi Isa ibn Maryam. Namun, penganut-penganut agama tersebut telah meminda ajaran-ajaran Nabi Isa serta telah berpecah kepada berbagai-bagai mazhab yang dianggap sebagai agama-agama yang berlainan antara satu sama lain.

Mereka meminda agama Allah Taala menjadi agama syirik, seterusnya berlakulah penyelewengan aqidah. Kemudian diikuti pula dengan penyelewengan akhlak, politik bahkan segala aspek hidup yang lain. Akibatnya terjadilah kesengsaraan kepada manusia di dalam semua segi.

Kesesatan Bangsa Yahudi

Orang-orang Yahudi yang pernah diberi keistimewaan oleh Allah Taala dengan diutuskan Nabi Musa, Nabi Harun dan Nabi-Nabi yang lain. Di samping diturunkan Kitab Taurat yang menjadi petunjuk kepada mereka serta sebagai pertolongan membebaskan mereka daripada berterusan menjadi mangsa kezaliman dengan cara yang tidak pernah diberi kepada umat yang lain. Tetapi mereka menjadi umat yang tidak layak menjadi contoh yang baik kepada manusia kerana penyelewengan akidah dan lain-lain. Bahkan ada Nabi-nabi yang dibunuh oleh mereka.

Al-Quran mendedahkan sifat-sifat jahat mereka terhadap agama Allah Taala. Di antara firman Allah yang menyebut hal demikian ialah :

"Apakah kamu berharapkan bahawa mereka akan percaya kepadamu, padahal segolongan mereka mendengar firman Allah lalu mereka mengubahnya setelah mereka memahaminya, sedangkan mereka mengetahui." (Surah al-Baqarah : ayat 75)

"Maka kecelakaan yang besarlah kepada orang-orang yang menulis Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu mereka mengatakan; Ini dari Allah, (bertujuan) untuk menempah harga yang sedikit dengannya, maka kecelakaan besarlah bagi mereka kerana apa yang mereka kerjakan. Apakah setiap kali datang kepada kamu Rasul yang tidak sesuai dengan keinginan kamu lalu kamu menempelak (agama) daripada Rasul itu, kamu bohongkan dan sebahagiannya kamu bunuh?" (Surah al- Baqarah : ayat 79)

Yang tersebut di atas membuktikan bahawa agama Allah Taala seperti yang diwahyukan kepada Para Nabi sebelum Nabi Muhammad SAW telah diselewengkan, sehingga tidak mempunyai nilai yang sebenar.

Kesesatan Kerajaan Parsi

Negara Parsi, walaupun menjadi kuasa besar dunia di samping Rom serta dianggap paling maju daripada aspek kebendaan, tetapi menjadi medan kepada falsafah karut yang mengajar manusia bersifat seperti binatang. Di antaranya ialah falsafah (ajaran) “Zoroaster” yang menjadi pegangan golongan bangsawan. Ajaran tersebut mengajarkan perkahwinan sesama ahli keluarga seperti ibu, anak perempuan ataupun saudara perempuan, sehingga Yazdegerd (651M), pemerintah Parsi di pertengahan abad ke-5 berkahwin dengan puterinya sendiri.

Maharaja-maharaja Parsi pula mendakwa bahawa di dalam diri mereka mengalir darah tuhan. Oleh itu rakyat hendaklah mempersucikan dan memuja mereka seperti tuhan. Apa sahaja yang dilakukan oleh raja itu walaupun perbuatan yang jahat, hendaklah dianggap baik dan mulia. Semua rakyat dipaksa memberi ketaatan membuta tuli kepada raja, sama seperti taatkan Allah. Di Parsi juga lahirnya agama Majusi, yakni penganutnya menyembah api.

Sebenarnya rakyat Parsi sebelum ini pernah mempunyai sistem syariat dan akhlak yang menjadi pegangan, tetapi ia kemudiannya ditenggelami oleh fahaman jahiliyyah yang tebal setelah berlalunya masa yang panjang.

Kesesatan Dinasti Besar Kerajaan China

Negeri China juga ditenggelami kesesatan. Ajaran Buddha, Lotze, Confutze dan Shinto di Jepun menjadi agama yang dianut oleh penduduknya. Kesemua ajaran itu terpesong dari ajaran Tauhid yang sebenarnya, sehingga mereka beribadat dengan memuja sesama makhluk dan membawa ajaran yang tidak memenuhi fitrah manusia. Walaupun China masyhur dengan tamadunnya tetapi penduduknya tidak menganut agama Allah. Mereka tidak mendapat petunjuk yang sebenar, tidak memiliki risalah yang mampu menyelesaikan masalah manusia dalam segala aspek, dan tidak boleh menjadi contoh yang baik dalam membetulkan kehidupan manusia.

Kesesatan Kerajaan India

Di India juga mempunyai peranan yang besar di dalam pergolakan dunia. Bagaimanapun seperti yang dinyatakan oleh Syaikh Abu al Hasan 'Ali an Nadawi, India merupakan penyumbang keruntuhan akidah, masyarakat dan akhlak kepada negeri-negeri jirannya dan memainkan peranan yang besar dalam menyesatkan rantau di sebelahnya. Penduduknya yang beragama Hindu itu mempunyai keistimewaan di dalam kesesatan mereka dari segi banyaknya tuhan yang diada-adakan untuk dipuja, dari segi kebuasan hawa nafsu dan mewujudkan kasta-kasta di dalam masyarakat.

Dalam abad ke-6, menurut yang tercatit di dalam kitab Veda, jumlah tuhan-tuhan yang dicipta oleh mereka sebanyak 37 tuhan dan mereka menambahnya dari masa ke semasa apabila bertemu dengan setiap perkara dan benda yang dianggap menarik. Mereka memuja patung-patung pemimpin atau pahlawan-pahlawan yang disanjung sehinggalah kepada pemujaan binatang-binatang yang tidak berakal. Di samping itu terdapat juga adat-adat karut dan khurafat yang menjadi amalan mereka.

Kesesatan Di Pelosok Daerah Lain

Begitu juga dengan daerah-daerah lain di dunia yang mengalami keadaan yang sama. Umpamanya penduduk Asia Tengah dan Timur Jauh. Mereka menganut agama keberhalaan seperti Buddha dan sebagainya. Mereka hidup dalam keadaan liar tanpa sistem hidup yang sebenar.

Begitulah juga keadaannya di Asia Tenggara, di mana keadaan di India dan di China memberi kesan yang hebat kepada penduduknya. Kesan-kesan sejarah yang dijumpai di zaman mutakhir membuktikan tentang apa yang telah berlaku di zaman sebelum kedatangan Islam. Apa lagi di daerah lain yang tidak mempunyai asas dan tanda ketamadunan yang diterokai oleh manusia.

Zaman Jahiliyyah menjadikan seluruh dunia ini sebagai pentas menegakkan kezaliman. Peraturan di rimba menjadi amalan hidup manusia. Ajaran-ajaran yang pernah diwahyukan oleh Allah Taala kepada Para Nabi dan Rasul telah dilupai atau diselewengkan. Walaupun begitu ada segelintir manusia yang masih berpegang dengan saki-baki kebaikan yang masih tinggal. Tetapi mereka tidak boleh mengenengahkan sistem itu ke dalam masyarakat yang berkecamuk, sehingga penganutnya terpaksa ber‘uzlah ataupun dibunuh.

Itulah gambaran kebiadapan yang berlaku di ambang kelahiran Nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW. Hampir keseluruhannya di dalam kesesatan dan penyelewengan. Manusia tidak mengenal Tuhan, nafsu bermaharajalela, “serigala menjadi gembala”, penjenayah menjadi hakim dan orang zalim menjadi ketua negara. Manusia menghadapi krisis nilai yang dahsyat sehingga orang-orang baik dianggap jahat dan orang jahat pula dianggap baik. Tidak ada orang yang dapat menjalankan “amar makruf dan nahi mungkar”.

Raja-raja menganggap diri mereka sebagai tuhan, sedangkan rakyat dianggap abdi. Rakyat dipaksa memberikan ketaatan mutlak kepada raja, walaupun pada zaman itu masih ramai paderi dan pendita yang dianggap “ulama” kerana mereka masih mengetahui sedikit sebanyak pusaka Nabi-nabi, tetapi kebanyakan mereka adalah penyeleweng yang menjual agama dengan harga dunia, pangkat dan kedudukan. Mereka melakukan rasuah dan memakan harta seperti yang didedahkan oleh Allah Taala di dalam al Quran. Firman-Nya yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah at-Taubah : ayat 34)

Kesimpulannya, manusia berada dalam keadaan membunuh dan merosak diri sendiri. Mereka lupa akan Tuhan yang menciptakannya. Mereka hilang perhitungan dan nilai kemanusiaan, mereka tidak memikirkan langsung tentang Al-Din yang sebenar dan tentang akhirat. Di sana telah berlaku kerosakan di seluruh pelosok bumi. Benarlah firman Allah Taala:

"Telah zahirlah kerosakan di daratan dan lautan disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, supaya mereka kembali ke jalan yang benar." (Surah al-Rum : ayat 41)

Tiada penyelamat melainkan dari Tuhan Pencipta Alam, Tuhan Yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Tuhan yang mengutuskan Nabi Muhammad sebagai cahaya kepada zamannya. Maka kelahiran Nabi Muhammad adalah tepat dengan tujuan tersebut. Ajaran yang dibawa oleh Baginda adalah memenuhi tuntutan manusia sebagai guru umat akhir zaman.

http://www.tarbawi.my

sumber : Harakahdaily

No comments:

Post a Comment