Sudut Iklan

Ruang Iklan

Sunday, 26 January 2014

Pemergian Ustaz Harun kehilangan yang dirasai - PUM

JAN 25, 2014 HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) turut merasa sedih di atas pemergian seorang tokoh ulama, Datuk Harun Taib.

“Hilangnya seorang ulama yang banyak berjasa dalam perkembangan dan pembangunan Islam di tanah air.

“Beliau banyak memberi tarbiyah kepada generasi muda dan tegas dalam memberikan pandangan dalam sesuatu isu,” ujar Setiausaha Agung PUM, Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.

Katanya, Ustaz Harun adalah satu kehilangan dan dirasai di seluruh negara, semoga ruh almarhum dicucuri rahmat Ilahi.

Dalam masa yang sama, ujar beliau didoakan agar Datuk Dr Haron Din diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik.

Ustaz Harun Taib kembali ke rahmatullah
JAN 25, 2014 HARAKAHDAILY


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menziarahi Ustaz Harun ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib kembali ke rahmatullah di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada jam 12.05 tengah malam ini.

Demikian dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh anak Allahyarham.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri memberitahu jenazah Almarhum Ustaz Harun dijangka disolatkan pada jam 10 pagi nanti di Markas Tarbiyah Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh ahli PAS agar beramai-ramai hadir mendoakan kebaikan untuk almarhum.

“Moga Allah merahmati roh beliau dan meletakkan beliau bersama roh para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.

Bagi pihak Dewan Ulamak PAS Pusat dan seluruh jawatankuasanya, beliau mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum.

“Jasa dan amal perjuangan dakwah almarhum sepanjang berkecimpung dalam gerakan Islam seawal remaja sehingga ke akhir hayat insya Allah diganjari dengan yang terbaik oleh Allah subhanahu wa taala,” ujarnya lagi.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan seluruh kepimpinan PAS negeri turut mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum, semoga bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan Allah tersebut.

No comments:

Post a Comment