Sudut Iklan

Wednesday 22 August 2012

Hijjaz rai peminat



Hijjaz hargai peminat
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


KUMPULAN nasyid Hijjaz bukan asing lagi di kalangan peminat nasyid tanah air. Mereka sudah memperjuangkan irama nasyid kontemporari sejak kumpulan itu ditubuhkan pada 1 Ramadan 1417H bersamaan 10 Januari 1997.

Hijjaz yang menampilkan konsep ‘hiburan mendidik jiwa’ berjaya menghasilkan lagu yang bukan saja menarik bahkan terselit nasihat serta mengingatkan peminat terhadap Allah Yang Maha Esa. Antara lagu yang sentiasa mendapat permintaan dan melekat kemas di hati peminat mereka ialah Sumayyah. Sehingga ke hari ini lagu itu adalah lagu wajib setiap sekali mengadakan persembahan.

Terkini, Hijjaz bekerjasama dengan syarikat Amity Enterprise untuk mengadakan program berkonsepkan perkampungan Melayu bersama peminat yang akan diadakan pada 16 September ini di Taman Tema Lost World of Tambun, Ipoh, Perak.

Pada program itu, peminat akan ‘berkampung’ bersama Hijjaz yang kebanyakan aktiviti yang disediakan pasti menggamit kenangan kepada peminat terhadap kehidupan kampung yang kini semakin ditelan arus kemodenan.

Setiap peserta akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan yang akan diketuai oleh anggota Hijjaz. Mereka akan diberikan baju kemeja-T yang berbeza warna mengikut kumpulan masing-masing. Dalam acara yang sudah diatur, penganjur akan memperbanyakkan aktiviti sukan tradisional bagi merealisasikan tema yang dibawa.

Di samping bermain permainan kampung, peminat juga boleh beramah mesra dan mengenali anggota Hijjaz dengan lebih dekat. Mereka akan memainkan peranan sebagai ketua keluarga bagi memimpin ahli kumpulan masing-masing. Di sinilah ukhuwah akan terjalin di antara Hijjaz dan peminat.

Ketua Hijjaz, Isman Nadim Is berkata, mereka amat teruja untuk menjayakan program itu kerana sudah agak lama tidak dapat mengadakan program bersama peminat.

“Kalau boleh, kami ingin mengadakan acara seperti ini setiap tahun kerana kami percaya peminat pasti akan berpuas hati dengan acara yang disediakan, dengan program yang dianjurkan, peminat setia Hijjaz takkan rugi dan saya percaya mereka akan berpuas hati dengan acara yang telah diatur.

“Sebagai tanda kenangan, pada akhir program, kumpulan yang berjaya dalam pertandingan akan menerima hadiah yang disediakan penganjur. Kami juga akan memberikan persembahan eksklusif buat semua peserta yang mengikuti program ini,” katanya.

Penganjur menaruh harapan tinggi agar program ini mampu memberikan satu kenangan tidak dapat dilupakan khususnya bagi mereka yang meminati Hijjaz sejak awal lagi. Tiket berharga RM270 seorang termasuk makan dan minum serta barangan cenderahati. Program akan bermula pada jam 8 pagi.

Untuk keterangan lanjut, sila layari berkampungbersamahijjaz.blogspot.com atau hubungi Amir di talian 017-5984127. Tarikh akhir penyertaan adalah pada 30 Ogos ini. Tempat adalah terhad.

Ulasan:
Kumpulan Hijjaz merupakan kumpulan nasyid yang sentiasa komited dan mempunyai komitmen yang tinggi terhadap perjuangan mereka menegakkan irama nasyid hingga ke tahap sekarang. Antara kumpulan nasyid yang masih kekal dan dapat bertahan dengan lagu-lagu nasyid yang sentiasa segar dan lunak didengar. Semoga kumpulan ini terus bertahan dan semakin hebat menerbitkan album-album baru. 

No comments:

Post a Comment