Sudut Iklan

Monday 17 March 2014

Mengapa kerajaan BN meluluskan konsert liar?

Konsert liar: Kerajaan BN dibidas gagal ambil iktibar
MAR 17, 2014 SAIDAH HAIRAN




KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat mendesak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menjelaskan tentang penganjuran 'Future Music Festival Asia 2014' sehingga mengakibatkan enam remaja maut dan empat kritikal.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof (gambar)mempersoalkan mengapa kerajaan BN meluluskan konsert liar selama tiga hari di Stadium Bukit Jalil dalam keadaan rakyat masih berdukacita dengan kehilangan pesawat MH370.

Konsert pada hari ketiga bagaimanapun dibatalkan atas arahan polis.

"Siapakah yang meluluskan permit untuk konsert yang penuh dengan maksiat ini? Kerajaan BN perlu bertanggungjawab dan jangan lepas tangan dalam hal ini kerana ia telah mengakibatkan kematian," tegasnya.

Menurut beliau, konsert yang kononnya membantu mempromosikan Malaysia sebagai hab muzik antarabangsa berlangsung dalam keadaan penuh maksiat dan bertentangan dengan budaya timur apabila arak dan dadah diambil secara berleluasa oleh pengunjung.

Malah ada pengunjung yang maut dan dimasukkan ke hospital kerana mengambil dadah jenis sintetik yang dipercayai ecstacy.

Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang mempersoalkan penguatkuasaan garis panduan konsert oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta adakah pihak penganjur mematuhi peraturan Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) ketika menganjurkan konsert tersebut.

"Jika kementerian dan penganjur mematuhi garis panduan tersebut mengapa penonton boleh membawa masuk arak dan dadah?" soalnya.

Tambah beliau, sepatutnya kerajaan mengambil tindakan menghalang konsert maksiat itu daripada berlangsung kerana negara sedang ditimpa masalah jerebu dan kehilangan pesawat MH370.

"Seharusnya kita menghormati masalah serta sensitiviti rakyat dan ahli keluarga penumpang MH370. Dalam keadaan rakyat bersedih kenapa kerajaan membenarkan satu konsert maksiat diadakan," tegasnya.

Beliau berkata, kerajaan BN seharusnya berusaha bersungguh-sungguh untuk membasmi masalah pengambilan dadah, minum arak serta gejala sosial yang keterlaluan.

"Sepatutnya semua pihak terutama pemerintah mengambil ikhtibar dan bermuhasabah diatas kejadian kehilangan pesawat MH370, masalah jerebu, ketiadaan air dan sebagainya yang berlaku di negara kita," tegasnya.

sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/26468-konsert-liar-kerajaan-bn-dibidas-gagal-ambil-iktibar

No comments:

Post a Comment