Sudut Iklan

Monday 3 March 2014

PAS

PAS: Dakwah, Tarbiah, Siasah
MAR 03, 2014 IDRIS AHMAD

PAS sebagai sebuah jamaah yang menjadi mata rantai perjuangan orang-orang terdahulu daripada kita. Kewujudan PAS bukan kerana tidak puas hati dengan jamaah Islam yang sedia ada. PAS ditubuhkan sebagai menyahut seruan Allah SWT yang bermaksud " Hendaklah ada di kalangan kamu suatu puak ( jamaah) yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran. Dan merekalah orang yang berjaya". (Al-Imran 3:104)

Dakwah, Tarbiah dan Siasah tiga serangkai yang tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Inilah keunikan PAS sejak daripada mula penubuhan lagi. PAS bergerak di atas tiga paksi ini, sehingga mampu menongkah arus dan badai perjuangan walau pun PAS tidak berpeluang memegang kerajaan di peringkat pusat. Usia PAS yang sudah lebih 62 tahun, tetapi sentiasa dinamik dan segar untuk menjadi harapan baru bagi menggantikan Umno yang sudah hilang ideologi perjuangan. Umno hanya mampu hidup kerana ada kuasa sahaja. Idealisma perjuangannya sudah tidak bermaya. Semangat nasionalis sudah berkubur. Slogan hidup Melayu hanya hidup di dua musim, ketika pilihanraya dan persidangan Agung Umno.

PAS tidak boleh lari daripada kerja dakwah. Setengah orang anggap PAS hanya parti politik, dakwah kerja orang lain. Ini satu penyelewingan dalam perjuangan. Dakwah dengan PAS seperti aur dengan tebing.

Sekiranya PAS hanya mementingkan politik sahaja, nescaya perjuangan PAS tidak boleh bertahan hingga kini. Pengaruh perjuangan PAS akan terhad dan tidak berkembang. Apakah modal untuk PAS gunakan sepanjang masa selepas musim pilihanraya. Umno dia boleh bertindak sebagai gerakan politik sahaja, kerana mereka ada kuasa. Cuba bayangkan jika Umno tidak ada kuasa adakah dia mampu untuk bermodalkan benda. Sudah pasti tidak boleh.

PAS berdakwah sepanjang masa untuk memastikan rakyat di negara ini faham isi perjuangannya dan fahama ajaran Islam yang syumul. PAS mengambil masa haampir 40 tahun menerangkan di dalam Islam ada politik. Satu ketika dahulu berapa ramai masyarakat termasuk yang berpendidikan agama yang berkeyakinan di dalam Islam tidak ada politik. Alhamdulillah keadaan sudah berubah. Ertinya jika tanpa dakwah yang dimainkan oleh golongan agamawan di dalam PAS, maka masyarakat akan jahil mengenai politik Islam.


Tarbiah ialah ramuan PAS untuk kelangsungan perjuangan. Tanpa tarbiah, PAS akan rebah. Dengan tarbiah PAS terarah. Tarbiahlah yang menggerakkan PAS selama ini. Tarbiah membina Iman dan keyakinan kepada setiap ahli. PAS tidak mampu untuk menggerakkan parti jika kekuatan ini tidak dibina. Bermodalkan motivasi Iman, balasan dosa dan pahala telah berjaya meletakkan PAS di atas landasan perjuangan yang betul.

Tarbiah menjadikan ahlinya bekerja tanpa mengharapkan ganjaran dan upah. Tarbiah membentuk ahli yang menolak tawaran kebendaan daripada pihak musuh. Mereka memandang ini satu benda yang jijik, kalau imbalannya kena meninggalkan perjuangan PAS. Tarbiah mampu menggerakkan ahli untuk hadir ke perhimpunan raksasa seperti tiga Himpunan Bersih, Himpunan Menentang PPSMI, Himpunan Masuh ISA, Himpunan Menentang Penyenaraian Felda di Bursa Saham Malaysia. Tarbiah berjaya menggerakkan ahlinya untuk bekerja di dalam pilihanraya tanpa penat dan lelah. Tarbiah melahirkan ahli yang kental, disegani oleh kawan dan lawan.


PAS boleh terlibat di dalam politik pilihanraya atas lambangnya sendiri. Inilah satu keunikan PAS di negara ini. Ia berbeza dengan badan dakwah yang lain. Kerana mereka tidak didaftarkan sebagai parti politik yang tidak boleh beraksi di medan pilihanraya dengan menggunakan lambang sendiri. Gerakan mereka terhad untuk dakwah dan tarbiah. Mereka boleh membina sekolah, kilang, perkampungan Islam tetapi tidak boleh untuk terlibat dalam pilihanraya bagi mendapatkan kuasa atas kapisiti jamaah mereka. Islam tidak boleh dihayati tanpa diberi kuasa. Ia hanya berlegar sekitar surau dan masjid. Islam menjadi tetamu, bukan tuan.

Islam menjadi dagang yang boleh dibuang bila-bila masa. Islam dihukum, bukan menghukum. Dengan adanya kuasa, jalur dakwah lebih terserlah. Ini dibuktikan apabila Kelantan yang diperintah selama 23 tahun telah menunjukkan lisanul hal kepada masyarakat, bahawa Islam mampu untuk mentadbir. Lebih jauh daripada itu orang bukan Islam mula tertarik dengan Islam dan perjuangan Pas apabila mereka melihat keadilan secara praktikal. Sebelumnya apabila pihak musuh mengatakan PAS parti yang kejam kepada orang bukan Islam. Maka telah dijawab dengan amalan, bagaimana orang bukan Islam mendapat hak mereka, walaupun mereka penduduk minoriti. Kesannya pengaruh PAS di luar Kelantan semakin membesar sejak PAS memerintah Kelantan.


Walau pun ada pandangan yang mengatakan PAS perlu menjadi parti politik semata-mata jika mahu PAS relevan dan setanding dengan parti lawan. Ini mungkin pandangan dari golongan pengkaji semata-mata. Atau pun mungkin golongan ini merupakan golongan yang tidak memahami sunnah perjuangan Islam yang ada kalah menang. Atau pun golongan ini baru di dalam perjuangan, tidak tahan dengan kekalahan sehingga nafasnya pendek.

Atau pun golongan ini hanya mahu cepat menang tanpa mengambil kira manhaj perjuangan Islam. Atau pun golongan ini cuba hendak menjadi PAS parti politik semata- mata. Atau pun golongan ini masih muda, terlalu cepat hendak mendapat hasil. Kepada golongan ini mari kita renung wasiat Al Shahid Syed Qutb kepada adiknya sebelum beliau ke tali gantung. "Wahai adikku engkau merasa dada kamu sesak jika engkau merasakan kamu yang memulakan perjuangan dan kamu yang mengakhiri perjuangan. Tetapi kamu akan merasa lapang jika kamu sedar bahawa bukan kamu yang memulakan dan mengakhiri perjuangan"

sumber: http://bm.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/26098-pas-dakwah-tarbiah-siasah

No comments:

Post a Comment