Sudut Iklan

Tuesday 6 May 2014

GST perlu kerana ramai tidak bayar cukai pendapatan - Najib

Astro Awani |Kemas kini:Mei 05, 2014
(Diterbitkan pada: Mei 05, 2014 13:19 MYT)


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. --Gambar fail

PUTRAJAYA: Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan tahun depan tidak akan membebankan rakyat sebaliknya ia satu langkah perlu yang akan meluaskan pendapatan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelas beliau, pelaksanaan GST akan menambah pendapatan negara kerana ia satu bentuk cukai yang progresif yang hanya dikenakan atas perbelanjaan bagi barangan dan perkhidmatan yang digunakan oleh seseorang.

Najib mengingatkan bagaimana hanya lebih kurang satu juta sahaja penduduk negara ini yang membayar cukai dan sesetengah daripada mereka membayar kadar yang lebih rendah daripada yang sepatutnya.

"Kita mesti terangkan kepada rakyat bahawa ramai yang tidak bayar cukai. Saya tahu sebagai Menteri Kewangan ramai yang tidak bayar cukai atau bayar sikit daripada yang sepatut dibayar.

"Dengan adanya sistem ini, ia lebih progresif kerana ia bergantung kepada banyak mana perbelanjaan kita dan dengan cara seperti ini dengan langkah kita mengecualikan cukai pada barang-barang keperluan rakyat maka pengenalan GST ini tidaklah membebankan rakyat," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini pada Isnin.

Jelas Perdana Menteri, kerajaan akan melihat dan memperincikan lebih banyak barangan dan produk yang boleh dikecualikan daripada GST tanpa menjejaskan perluasan asas hasil.

Lebih kurang 20,000 orang berhimpun di Dataran Merdeka pada Khamis lalu dalam protes membantah pelaksanaan GST yang diadakan sempena Hari Pekerja.

GST akan dilaksanakan pada 1 April tahun pada kadar 6 peratus dan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus.

Dalam pada itu, Najib menyamakan GST seperti antibiotik yang perlu untuk 'mengubati' masalah ekonomi negara dalam memacu perubahan yang digerakkan oleh pentadbirannya.

"Analogi mudahnya kita perlu kepada ubat antibiotik. Kita mesti makan sampai habis supaya kesihatan kita boleh pulih.

"Dalam perjalanan mentransformasikan negara kita, kita mesti telan ubat yang perlu, tetapi yakinlah kesudahannya kita akan dapat kebaikan dan memiliki negara yang lebih berjaya,” katanya.

Menurut Najib lagi, sistem percukaian GST telah lama dikaji oleh kerajaan dengan mengambil kira pengalaman yang digunapakai oleh hampir 90 peratus negara lain di dunia.

Jelas beliau, melalui pelaksanaan GST kerajaan akan mampu memacu pertumbuhan yang lebih tinggi untuk negara dan mampu membina lebih banyak infrastruktur dan keperluan asas di bandar dan luar bandar.

Kegagalan membina infrastruktur lebih moden akan menyebabkan negara kehilangan kelebihan daya saing.

- Astro Awani

No comments:

Post a Comment