Sudut Iklan

Friday 9 May 2014

MCA perlu rujuk pihak mahir hukum hudud


WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Mei 2014

MUAR – Timbalan Presiden MCA, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong disarankan terlebih dahulu merujuk kepada pihak yang mahir hukum hudud sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan parti itu dalam BN.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razali Ibrahim berkata, MCA boleh merujuk perkara tersebut kepada Ahli Majlis Tertinggi BN untuk mendapatkan pemahaman yang tepat bagi mengelakkan kekeliruan.

“Kita (Umno) belum buat keputusan (laksana hudud) tetapi sebagai orang Islam kena terima hukum tersebut.

“Adakah dia (Ka Siong) faham tentang hukum hudud? Jadi tidak sesuai dia membuat kenyataan secara terbuka,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa Kelab Pesara Kanan Muar, semalam.

Ahli Parlimen Muar itu mengulas kenyataan bekas Timbalan Menteri Pendidikan berhubung kesediaan MCA untuk membincangkan semula kedudukan parti itu dalam BN jika Umno menyokong rang undang-undang pelaksanaan hudud di Kelantan.

Mengulas lanjut, Razali berkata, beliau tidak akan memujuk MCA jika parti itu serius mahu keluar BN.

“Saya tidak tahu ini (membincangkan semula kedudukan parti itu dalam BN) sekadar pandangan peribadi beliau ataupun mewakili suara MCA kerana Ka Siong adalah pemimpin nombor dua parti berkenaan,” katanya.

Razali berkata, BN pada peringkat awal ditubuhkan adalah Parti Perikatan yang dianggotai tiga parti besar iaitu Umno, MCA dan MIC.

“MCA bersama Umno menubuhkan aspirasi BN, bermakna kita (Umno) mempunyai hubungan baik antara parti komponen dalam BN,” katanya.

No comments:

Post a Comment