Sudut Iklan

Ruang Iklan

Wednesday, 4 June 2014

Artis teruja dapat temui Tok Guru Nik Aziz



KOTA BHARU: Seramai 18 artis yang akan menyertai perlawanan persahabatan bola sepak dengan pasukan Pejabat Menteri Besar mengikuti tazkirah disampaikan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tazkirah ringkas itu diadakan tengah hari tadi ketika mereka mengunjungi Mursyidul Am PAS di Institut Pemikiran Tok Guru di Kota Darulnaim.

Kumpulan artis terbabit diketuai Syed Aiman mewakili Kelab Sukan Artis Malaysia. Hadir sama Sabri Yunus, Fizo Omar, Danny X Factor, Syed Aiman dan Yantzen.

Malam ini pasukan artis akan bertembung dengan pasukan Pejabat Menteri Besar yang akan membariskan beberapa bekas pemain Kelantan termasuk Hashim Mustafa, Salim Mahmood.

Selain itu turut disertai Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Yakob, anggota parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan beberapa pemain The Red Warriors.

Perlawanan itu akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Pada tazkirah terbabit, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, penglibatan artis dalam medan dakwah menarik perhatian orang ramai terutamanya anak-anak muda.

“Artis memiliki banyak kelebihan termasuk suara baik, rupa paras lawa dan sebagainya seharusnya juga memiliki akhlak yang baik kerana ia akan menjadi ikutan orang ramai.

"Tuan-tuan merupakan tumpuan masyarakat dan perkara yang dilakukan akan menjadi ikutan ramai.

“Dan perlu ingat semua tindak tanduk akan dipersoal di akhirat nanti. Buat perkara baik apabila orang ikut akan mendapat pahala dan begitu sebaliknya," ujar beliau.

Sementara itu Syed Omar berkata, kunjungan itu dibuat bagi memenuhi hasrat semua artis yang datang ke Kelantan dan mereka amat teruja dapat bertemu Tok Guru. - HARAKAHDAILY 4/6/2014

No comments:

Post a Comment