Sudut Iklan

Wednesday 4 June 2014

Siti Soffea diculik kerana sistem perlindungan kanak-kanak gagal, kata aktivis




Mayat suspek kes pembunuhan kejam Siti Soffea Emelda yang ditemui lemas di Sunway selepas melarikan diri dengan terjun ke Sungai Klang, Khamis lalu. Gambar fail.

Sistem perlindungan kanak-kanak di Malaysia gagal selepas Siti Soffea Emelda yang berusia dua tahun setengah dilarikan dari pusat beli-belah Kota Raya ke Sungai Klang pada Khamis, kata aktivis kanak-kanak.

Pengerusi Voice of the Children (VoC), Sharmila Sekaran berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis dan keluarga berkenaan gagal melindungi kanak-kanak perempuan itu dalam insiden yang mengejutkan negara.

Katanya, ia adalah satu barometer kepada sikap pengabaian ibu bapa mengawasi anak-anak mereka di tempat awam.


Peguam VoC, Nizam Bashir berkata dalam kes tersebut, ibu dan anaknya dipercayai orang gelandangan sementara bapa kepada kanak-kanak itu berada di penjara.



Katanya, merujuk situasi itu, peruntukan Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan kanak-kanak tersebut perlu dilindungi daripada ibu bapa yang berdepan keadaan sedemikian.

"Apabila kanak-kanak memerlukan penjagaan dan perlindungan, Seksyen 18 mensabitkan mandatori kepada JKM atau pegawai polis untuk menjaga kanak-kanak tersebut," katanya.

Kejadian yang berlaku pada Khamis itu dirakam kamera litar tertutup di pusat beli-belah Kota Raya menunjukkan seorang lelaki membawa Siti Soffea secara paksa.

Rakaman tersebut turut menunjukkan pengawal keselamatan menyaksikan kejadian berkenaan namun tidak mengambil tindakan.

Ibu Siti Soffea, Siti Salmy Suib, 32, meninggalkan anaknya bersama rakan di tingkat empat bangunan sama kerana mahu pergi ke tandas.

Sekembalinya, Siti Salmy mendapati anaknya tidak lagi berada di kawasan itu.

Dua saksi, yang berasal dari Sabah menyaksikan suspek membawa Siti Soffea ke Sungai Klang dan mendukungnya di belakang sambil memukulnya dengan satu objek apabila kanak-kanak itu melawan.

Melihat suspek bergelut dengan mangsa, saksi berkenaan memberitahu polis bantuan yang ketika itu berada di bank berdekatan.

Suspek melompat ke dalam sungai dan cuba melarikan diri ketika nampak polis menghampirinya.

Mayat Siti Soffea dijumpai dengan kepalanya berada di kaki.

Mayat lelaki yang dipercayai menculik dan melarikan kanak-kanak itu dijumpai terapung di Sungai Klang selepas dua hari operasi mencari dijalankan.

Pengarah Institut Sumber Asuhan Kanak-Kanak Malaysia, Aisha Z Abdullah turut bersetuju dengan VoC sistem pengawasan semasa kanak-kanak gagal dan menggesa kerajaan menambahkan peruntukan untuk melindungi kanak-kanak.

Katanya, perkara itu perlu dilakukan kerana Malaysia memeterai perjanjian Konvensyen PBB Hak Kanak-Kanak.

"Di bawah sistem sekarang yang tertakluk kepada beberapa kementerian, kanak-kanak kurang diberi perhatian daripada segi kesejahteraan fizikal dan mental.

"Mereka perlu diberi perhatian supaya perlakuan ganas akibat kemiskinan dapat diubah kepada kestabilan melalui penjagaan dan pendidikan," katanya.

Aisha berkata, Putrajaya juga perlu menambahkan peruntukan kemanusiaan supaya dapat mencegah golongan yang tinggal di jalanan, pengabaian kepada gender, kaum dan etnik.

Katanya, kepincangan utama dalam sistem ialah tiada sesiapa yang memantau pelaksanaan hak kepada kanak-kanak.

"Hasilnya, lebih ramai kanak-kanak yang didera, disakiti atau dibunuh," katanya.

Sementara itu, Sharmila berkata, Seksyen 28 Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan ahli keluarga mempunyai tanggungjawab memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) atau polis jika seseorang kanak-kanak itu berdepan risiko tidak mendapat penjagaan.

"VoC menggesa pihak berkuasa menimbangkan keperluan segera meminda Akta Kanak-Kanak 2001 secara menyeluruh supaya risiko keselamatan kanak-kanak dapat dikurangkan," katanya.

Pengarah eksekutif Protect & Save Children, Nagasayee Malathy turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes keganasan kanak-kanak.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa mempercepatkan siasatan dan membawa pihak yang bersalah ke muka pengadilan.

"Ini akan menghantar mesej jelas negara kita tidak bertolak ansur kepada insiden seperti ini," katanya.

Beliau berkata, kesedaran orang ramai terhadap kesan Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak sekiranya terlibat dalam keganasan kepada golongan itu perlu dipertingkat.

"Kita memerlukan program pencegahan berkesan mensasarkan kepada hak kanak-kanak dan meningkatkan mekanisme perlindungan," katanya.

Pengasas Yayasan Chow Kit, Dr Haritini Zainudin, berkata pusat beli-belah perlu mengambil langkah proaktif apabila ada kanak-kanak yang dilaporkan hilang.

"Kita memerlukan sistem makluman awam seperti di pusat beli belah jika ada kanak-kanak yang dilaporkan hilang.

"Kerja mencari kemudiannya digerakkan dan mereka yang bersama kanak-kanak mesti diperiksa supaya tidak berulang kes sama.

"Ini yang tidak berlaku pada masa ini," katanya.

Hartini berkata, pada masa ini jelas menunjukkan pengawal keselamatan tidak dilatih untuk berdepan dengan situasi sedemikian. – 4 Jun, 2014.

sumber

No comments:

Post a Comment