Sudut Iklan

Wednesday 4 June 2014

Kenyataan menteri bukan jaminan barang tidak disorok


KUALA LUMPUR: Para pengguna sudah serik mengalami keadaan ketiadaan barangan kegunaan harian setiap kali menjelang bulan puasa dan musim perayaan.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan menyatakan demikian setelah meneliti beberapa laporan berita berkenaan isu penawaran bahan-bahan keperluan asas seperti gula, tepung dan minyak masak dalam pasaran.

Katanya, walaupun semalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Tanah Merah memaklumkan bahawa belum menerima aduan berhubung kekurangan bekalan bahan-bahan itu dalam pasaran negeri, berbeza pula dengan apa yang berlaku di Kedah apabila dilaporkan bahawa sejak minggu lepas lagi para pengguna berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan minyak masak dan tepung gandum serta kenaikan harga barangan itu.

Menruutnya, kenyataan Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hasan Malik semalam bahawa bekalan bahan-bahan itu mencukupi untuk sepanjang bulan Ramadan bukanlah suatu jaminan yang pasti dan kuat untuk mengelakkan gejala menyorok barang dan memanipulasi harga daripada berlaku.

"Al-Ihtikar atau perbuatan menyorok barangan keperluan awam dalam keadaan masyarakat sangat berhajat kepadanya yang dilakukan dengan tujuan untuk menjualnya semula dengan harga yang lebih tinggi bagi mengaut keuntungan yang lebih besar adalah perbuatan yang memperlihatkan keburukan akhlak dan etika dalam perniagaan berpunca daripada sikap tamak dan rakus," ujarnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya lagi, kesan daripada perbuatan itu khususnya oleh pemborong akan menyebabkan para peruncit pula terpaksa mengehadkan penjualan kepada para pembeli dan ada pula sebahagian daripada mereka yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga.

Natijahnya, kata beliau para pengguna yang mendapat kesan negatif kerana kekurangan barang-barang keperluan harian di samping harga yang terus melambung tinggi.

Oleh yang demikian, beliau sangat berharap agar kerajaan dapat mengadakan tindakan lebih proaktif bagi membendung segera gejala itu sebelum tibanya Ramadan dan musim perayaan Idul Fitri akan datang.

Justeru, tegasnya para pemborong dan peruncit yang berpotensi melakukan salah laku ini harus dipantau oleh pihak penguatkuasa dan jika disahkan mereka melakukannya, tindakan membatalkan lesen pernigaan mereka perlu dibuat bagi memberi pengajaran kepada peniaga-peniaga yang lain. 

- HARAKAHDAILY

No comments:

Post a Comment