Sudut Iklan

Monday 2 June 2014

Kurikulum pendidikan Yik diguna di 4 negara


ASLANI M | 02 Jun 2014.

KOTA BHARU: Kurikulum pendidikan Yayasan Islam Kelantan (Yik) turut diguna pakai di sekolah-sekolah agama di Singapura, Brunei, Thailand dan Kempuchea.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, selain itu ramai ibu bapa dari luar Kelantan berminat menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah agama di bawah Yik.

“Setiap tahun permintaannya begitu tinggi sekali, malah melebihi kuota yang ditetapkan Yik bagi pengambil pelajar-pelajar baru dari luar Kelantan.

“Ini secara jelas menggambarkan usaha yang dilakukan bagi memartabatkan bidang pendidikan agama di Kelantan turut mendapat perhatian masyarakat dari luar,” katanya pada perasmian penutup Seminar Antarabangsa Pendidikan Islam 2014 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Seminar terbabit membabit peserta dan pembentang dari Thailand, Indonesia, Brunei, Singapura dan England. Peserta tempatan pula mewakili institusi pengajian tinggi awam dan swasta, Yik, badan bukan kerajaan serta individu.

Perasmiannya semalam disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Dr Fadzli juga berkata, biar pun sumber kewangan Kelantan agak terhad, namun pendidikan agama tetap diberi keutamaan di mana meliputi hampir satu perempat daripada jumlah bajet tahunan.

Katanya, kerajaan negeri mengurus lebih 90 sekolah agama yang terdapat di seluruh Kelantan meliputi sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.

“Yik juga memiliki beberapa Maahad Tahfiz Sains bagi mengeluarkan tenaga kerja profesional yang mampu menghafal al Quran pada masa hadapan.

“Matlamat kerajaan negeri bagi menlahirkan doktor perubatan, jurutera dan pelbagai lagi jawatan profesional yang mampu menghafalkan al Quran,” ujarnya. 

- HARAKAHDAILY 2/6/2014

No comments:

Post a Comment